Foto oleh : Aminorazmi
Atas daya usaha Dato' Ir Muhammad Imran Baharuddin selaku Presiden EXSAS 2010-2012, Majlis Hi Tea Exsas bersama Dato' Cikgu Hj Abdul Ghafar Mahmud bersempena perlantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia yang baru telah diadakan pada hari Ahad, 21 November 2010 di Kelab Golf Negara Subang, Kelana Jaya. |
Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Datin Zaiton, Isteri Dato' Cikgu Abdul Ghafar yang juga bekas guru SEMSAS serta Tuan Hj Mokhtar Abdullah, Pengetua SEMSAS. Majlis yang diadakan secara santai tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato' Presiden EXSAS tepat jam 4.30 petang.
Dato' Presiden telah menyatakan rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas perlantikan beliau dan berharap Dato' Cikgu dapat berkongsi pengalaman, pedoman dan nasihat kepada EXSAS atas kejayaan beliau. Dato' Presiden juga memaklumkan bahawa EXSAS telah menawarkan diri untuk menjadi 'Kumpulan Sokongan' atas tugas-tugas rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Pelajaran.
Menurut Dato' Cikgu, ini adalah kali pertama beliau diraikan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru sejak dilantik pada 8 November yang lalu.
"Yang paling penting, saya diraikan oleh bekas anak murid saya sendiri" ujar Dato' Cikgu.
Sepanjang karier sebagai guru, beliau hanya mengajar dan menjadi pengetua pada sebuah sekolah sahaja iaitu SEMSAS. Mula menjejakkan kaki di bumi SEMSAS pada 14 Januari 1977, beliau terus dilantik sebagai warden oleh pengetua pertama SEMSAS iaitu Abdul Rahim Hamid ( sekarang Dato'). Beliau secara peribadi, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato' Abdul Rahim kerana telah memberikan peluang kepada beliau untuk menimba pengalaman dan membentuk karier beliau.
"Yang pentingnya adalah bekerja kuat. InsyaAllah kalau dah rezeki tidak kemana".
Dato' Cikgu menjelaskan bahawa hasil usaha keras yang berterusan sejak bergelar guru lagi telah membuahkan hasil sekarang. Beliau telah dinilai dari pelbagai sudut sebelum bergelar Ketua Pengarah Pelajaran yang baru.
Alhamdulillah, disebabkan beliau telah berada di kementerian sejak dari tahun 1984 lagi, maka beliau tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan tenaga dan juga idea.
InsyaAllah, beliau telah mula menggerakkan pasukannya demi untuk memartabatkan pendidikan tanahair. Beliau juga berharap agar EXSAS dapat membantu disepanjang perjuangan beliau sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lagi gambar dan video akan dimuatkan dalam masa yang terdekat.