Oleh Ruwaida Md Zain - Januari 4, 2022 @ 9:36am
Artikel asal : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/907501/banjir-hampir-sama-dengan-kejadian-pada-1995?fbclid=IwAR3lkSH6MZiSibM4Eyuv3krBDlBbUhaGwimfR_8xiuU4iiNnB_CjOculWuQ
Gambar banjir di hadapan rumah pada Disember 1995 milik Norrafidah Hashim dan satu-satunya koleksi peribadi yang menjadi kenang-kenangan malah turut tular di media sosial.- Foto NSTP/Ihsan Norrafidah Hashim
SHAH ALAM: "Banjir yang melanda Taman Seri Muda pada 18 Disember tahun lalu membawa ingatan saya kembali kepada kejadian hampir sama di lokasi sama pada penghujung tahun 1995."
Demikian luahan bekas penduduk Taman Sri Muda, Norrafidah Hashim, 54, yang berdepan bencana itu sekitar Disember 1995 sehingga memaksa dia sekeluarga meninggalkan taman itu sehingga kini.
Ketika itu, Norrafidah yang berumur 27 tahun, hamil enam bulan anak ketiga bersama suami, Rokman Mat Adam, 28 tahun; serta pembantu rumah tinggal menyewa di rumah teres dua tingkat di salah sebuah rumah di Taman Sri Muda berhampiran dengan Sungai Klang.
Sementara, anak sulung mereka, Aina Nadirah Rokman baru berusia dua tahun 10 bulan dan seorang lagi, Syafiq Rokman, berusia lapan bulan.
"Hujan lebat selama dua hari. Apabila hujan reda, air naik dan menjelang pagi ia mencecah jalan depan rumah. Kemudian, air naik semakin tinggi dan kami tidak sempat alihkan kenderaan, cuma sempat menaikkan barang dalam rumah ke tingkat atas.
"Pada sebelah petang, paras air dalam rumah mencecah paras pinggang, di luar rumah pula kira-kira tiga hingga empat kaki. Kereta tenggelam sehingga paras papan pemuka (dashboard).
"Sebaik air naik, petang kejadian (hari kedua, 25 Disember 1995) bot penyelamat bomba sampai. Kalau tidak silap saya, bot tanpa enjin. Bot penyelamat juga tidak banyak ketika itu.
"Air tidak deras, saya bersama suami harung sampai ke kawasan tinggi tempat mangsa banjir berkumpul manakala dua anak kami bersama pembantu rumah naik bot bomba," katanya ketika dihubungi.
Norrafidah berkata, dia sekeluarga tidak ke pusat pemindahan sebaliknya menumpang di rumah kawan selama beberapa hari sebelum berpindah ke rumah sewa baharu di Paya Jaras Hilir.
"Lepas banjir, saya terus tinggalkan Taman Sri Muda, Shah Alam. Saya memang tidak balik tengok kesan banjir. Suami yang uruskan bersih rumah dan terus pindah," katanya yang kini menetap di Sungai Buloh.
Norrafidah juga tidak menolak kemungkinan pihak kerajaan ada memaklumkan mengenai ramalan cuaca namun sebaran maklumat ketika itu agak terhad, hanya bergantung kepada televisyen, radio dan surat khabar sahaja.
"Jauh berbeza dengan zaman media sosial hari ini. Jadi info itu mungkin tidak sampai. Ditambah dengan kesibukan urusan kerja, jadi kita tidak jangka banjir di Taman Sri Muda ketika itu.
"Saya anggap, Allah bagi ujian dan kami reda. Masa itu kami masih muda, baru beberapa tahun mendirikan rumah tangga. Harta benda pun tidak banyak, barang ala kadar. Jadi, kesan tidak seteruk mangsa banjir hari ini, tambahan pula kami dari Pantai Timur, pernah melalui (banjir) di zaman kanak-kanak," katanya.
Berdasarkan carian arkib NSTP, pada 26 Disember 1995, Buletin Utama TV3 melaporkan, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Mat Taib mengumumkan peruntukan bantuan kemanusiaan RM1 juta bagi membantu mangsa banjir berpendapatan rendah membina semula kehidupan mereka.
Lebih 10,000 orang terjejas akibat banjir itu, ia yang terburuk sejak 10 tahun lalu. Antara kawasan paling teruk terjejas adalah Taman Sri Muda.
Air dilaporkan mencecah empat meter menenggelami rumah teres satu tingkat.