Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kepada Dato' Muhammad Imran Baharuddin (78), Mantan Presiden EXSAS telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Warga EXSAS ingin merakamkan ucapan takziah dan semoga arwah ditempatkan bersama para anbiya'. Al Fatihah.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin - Julai 24, 2021 @ 7:42pm -
KUALA LUMPUR: Bintang veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang ini.
Berita pemergiannya pelakon yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar kepada BH Online.
Nazariah, 66, berkata, arwah suami meninggal dunia bukan disebabkan pandemik COVID-19, sebaliknya arwah menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.
"Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.
"Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.
"Alhamdulillah, arwah pergi dengan mudah. Saya kemudiannya menghubungi anak-anak lain memaklumkan berita pemergian arwah," katanya kepada BH Online.
Nazariah berkata, seorang cucu yang bertugas sebagai doktor di Klang bergegas pulang ke rumah dan menjalankan ujian calitan COVID-19 pada arwah.
"Cucu mengesahkan arwah bukan meninggal dunia disebabkan pandemik COVID-19," kata Nazariah.
Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2021/07/842844/anjang-aki-sudah-tiada