KUANTAN - “Saya ingatkan demam dan batuk yang kerap adalah perkara biasa tapi saya terkejut apabila doktor sahkan saya menghidap kanser,”.
Demikian luahan Wan Saiful Zuhairi Wan Apandi ketika ditemui di Felda Bukit Kuantan, di sini.
Biarpun disahkan menghidap penyakit barah kelenjar tahap empat, namun itu tidak mematahkan semangat seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) itu untuk terus tekun dalam pelajaran.
Bagi Wan Saiful, walaupun terpaksa kerap menjalani rawatan kimoterapi, namun ia bukan batu penghalang untuk dia terus hidup seperti biasa termasuk menelaah pelajaran bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini.
Dia yang sebelum ini kerap demam dan batuk tidak menyangka ia tanda awal kepada penyakit tersebut sehinggalah disahkan doktor pada 13 Februari lalu.
“Pada 13 Februari lalu, doktor mengesahkan keputusan ujian yang dijalankan dan saya masih tidak percaya.
“Buat masa ini, saya menjalani dua rawatan kemoterapi dan perlu melaluinya sekurang-kurangnya 18 kali sehingga Ogos depan bergantung kepada keadaan kesihatannya,” katanya.
Kini Wan Saiful yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik terpaksa berulang alik setiap hari dari rumah neneknya untuk ke sekolah dengan dihantar ibunya Zalina Mohamad, sejauh 40 kilometer.
Ini kerana dia tidak boleh tinggal di asrama kerana antibodi lemah dan mudah dijangkiti penyakit.
“Saya tak boleh tinggal di asrama kerana bimbang antibodi badan lemah dan mudah dijangkiti virus,” katanya.
Ibunya, Zalina berkata, dia dan suami sebelum ini tinggal di Sungkai, Perak kini berpindah ke Felda Bukit Kuantan untuk menjaga Wan Saiful Zuhairi.
“Saya memang harap dia sembuh dan cuba melakukan rawatan yang disyorkan doktor. Buat masa ini kami semua reda dengan keadaan dia malah saya tengok dia masih bersemangat nak ke sekolah,” katanya.
Penderitaan Wan Saiful Zuhairi mendapat perhatian Badan Kebajikan dan Kemanusiaan Beserah Sungai Karang (Bakkiss) yang diketua Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh.
Wan Azlan berkata, Wan Saiful Zuhairi perlu kuat semangat untuk menghadapi situasi tersebut dan menjalani rawatan kimoterapi yang sudah diatur.
“Memang besar dugaan buat remaja sepertinya, tapi saya lihat dia kuat semangat malah masih minat ke sekolah,” katanya.
Artikel oleh : ERMA YUSNIDA JUSOH
30 Mac 2014 Akhbar Sinar Harian
Nota : Warga EXSAS prihatin dengan penderitaan yang dihadapi oleh adik Wan Saiful. Untuk itu, EXSAS akan mengadakan satu tabung sumbangan khas untuk disumbangkan kepada keluarga adik Wan Saiful sebagai tanda sokongan agar beliau tetap tabah dan bersemangat menghadapi hari mendatang.
Sumbangan warga EXSAS bolehlah dipindahkan ke dalam akaun EXSAS, Maybank 5623 5750 2760.
Mohon kerjasama ahli memaklumkan setiap sumbangan kepada wakil EXSAS di talian 017-971 0353 (Khairi) atau 019-271 7905 (Yien) untuk rekod.
Insha Allah, kita dalam perancangan untuk mengadakan lawatan ke rumah adik Wan Saiful apabila maklumat dari SEMSAS diperolehi dalam waktu terdekat.
Hidup Berjasa.
-MRY-