ROSALINDA MD.SAID dan SHAIFUDDIN MOHD.NOR | 18 November 2014 1:09 AM : Utusan Malaysia
Salehah Mohamad (kiri) bersama kakitangannya menunjukkan rempah warisan keluarga jenama Tok Ma di kilang syarikat di Kuala Terengganu, baru-baru ini . – utusan/Shaifudin Mohd Nor
KUALA TERENGGANU 17 Nov. - Syarikat Anak Jasa (M) Sdn. Bhd. pengeluar rempah warisan keluarga dengan jenama Tok Ma kini menerobos pasaran lebih meluas di seluruh Semenanjung melalui 102 rangkaian pasar raya besar Giant mulai Jun lalu.
Pengarah Urusannya, Salehah Mohamad berkata, dengan kemasukan produknya di gedung beli-belah itu, nilai jualan produk dijangka dapat dilonjakkan kepada lebih RM350,000 berbanding hanya kira-kira RM200,000 yang dicatatkan tahun lepas.
Selain Giant, katanya, produk rempah Tok Ma telah dipasarkan di seluruh pasar raya Tunas Manja dan pasar raya Sabasun HyperRuncit di sini sejak tahun lalu di samping kedai runcit, pasar malam serta pasar tani pada awal 2009.
“Penjualan di rangkaian yang luas seperti Giant mampu mengetengahkan jenama Tok Ma ke peringkat lebih menyeluruh dan sambutan pastinya baik kerana pengguna terutama suri rumah atau wanita yang bekerja lebih berminat untuk mendapatkan rempah yang siap diadun bagi membangkit rasa masakan yang asli.
“Sasaran kita adalah untuk membolehkan produk jenama Tok Ma berada di kesemua pasar raya besar di negara ini menjelang hujung tahun depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilang yang terletak di Lot 4, Kilang Bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, Salehah yang sudah lebih 30 tahun terbabit dalam pembuatan dan penjualan rempah warisan merancang untuk membesarkan kilang bagi meningkatkan pengeluaran termasuk memperkenalkan rempah sate, beriani, sup bunjut, barbeku, laksa dan pajeri.
Kini terdapat enam jenis rempah Tok Ma iaitu gulai nasi dagang, kari ikan, gulai ayam atau daging, gulai nasi minyak, kerutuk dan kari daging dihasilkan dengan ramuan istimewa menerusi enam peringkat penyediaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang amat mementingkan faktor kebersihan.
Kewujudan kilang sedia ada itu didorong oleh anak-anaknya dan syarikat turut diberi nafas melalui pembiayaan oleh Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Berhad (SME Bank) bagi pembelian mesin pengisar dan ketuhar berdasarkan permohonan yang dikemukakan pada 2002.
Di samping itu, katanya, pengembangan syarikat juga disokong oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang telah banyak membantunya dari segi bimbingan dan promosi sejak 2008.
Menurut Salehah, pembesaran kilang yang dicadangkan bagi membolehkan pengeluaran syarikat digandakan daripada penggunaan 200 kilogram rempah sehari kini yang hanya mampu menghasilkan lebih 500 peket rempah dalam dua saiz berbeza iaitu 250 gram dan 25 gram.
- See more at: http://www.utusan.com.my