Program Sehati Sepakat EXSAS - Misi Bantuan Banjir 2014 yang baru bermula pada 26 Disember 2014 yang lalu terus mendapat perhatian khususnya dari warga Exsas serta warga Malaysia amnya. Misi utama program ini ialah mengumpulkan sumbangan berupa wang tunai dan juga barangan. Dalam masa tidak sampai seminggu, wang tunai yang terkumpul telah melebihi RM20,000.00 manakala barangan yang disumbangkan seperti makanan dan minuman serta barang keperluan asas jika dinilai, telah melebihi angka RM10,000.00.
Selain daripada menerima sumbangan wang tunai daripada individu, Program Sehati Sepakat anjuran EXSAS ini juga telah mendapat perhatian dari sebuah Syarikat Korporat yang beroperasi di Kuala Lumpur.
PNB Commercial Sdn Bhd melalui wakil mereka iaitu Sdr Yusman Yusof (Exsas90) telah mengambil inisiatif, tampil untuk meringankan beban mangsa banjir dengan menghulurkan sumbangan wang tunai melalui sekeping cek bernilai RM10,000.00 di atas nama Persatuan Bekas Pelajar Semsas serta 280 helai t-shirt untuk program tersebut..
Cek telah disampaikan kepada wakil Exsas pada 31 Disember 2014 yang lalu dengan disaksikan oleh pegawai PNB Commercial dan juga beberapa orang wakil EXSAS.
EXSAS ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengurusan PNB Commercial Sdn Bhd, warga EXSAS serta orang ramai diatas semua sumbangan yang telah dihulurkan.