Sebak pilih sendiri baju raya
NORAWAZNI YUSOF - Sinar Harian (13 Julai 2015)
Mohd Fuad (dua, kiri) membantu Rasdan Mohd Nor, 16, mengenakan butang baju Melayu pada program berkenaan.
KUANTAN – Remaja berusia 14 tahun sebak apabila berpeluang memilih baju raya di gedung pakaian terbesar Jakel, di sini, bersempena program beli baju raya dan iftar untuk pelajar terpilih Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas), semalam.
Ketika mendekati, Farid Amirul, pelajar tingkatan dua itu berkata, air matanya bukan tanda sedih sebaliknya terharu kerana itu kali pertama dia menerima sumbangan baju raya.
Katanya, biasanya kelengkapan hari raya dibeli ibu, namun kali ini dia bertuah kerana dapat memilih sendiri pakaian raya apabila mendapat sumbangan daripada bekas pelajar sekolah berkenaan.
“Saya syukur sangat sebab dapat pilih sendiri apa yang saya nak... dah tentu saya pilih warna yang saya suka... Pemberian ni, kurang sikit beban ibu nak buat persiapan raya," katanya.
Selain Farid, seramai 76 pelajar menerima sepasang baju kurung dan tudung manakala pelajar lelaki menerima sepasang baju Melayu berserta samping.
Ameer Farhan Anuar, 15, berkata, pada tahun ini kegembiraan lebih berganda apabila dia bersama rakan-rakan dapat memilih sendiri baju raya.
“Saya seronok sebab terpilih terima sumbangan ni dan syukur sebab ia kurangkan beban keluarga nak buat persiapan.
“Sekurang-kurangnya baju raya saya, ibu tak perlu beli lagi. Itu dah cukup bagi saya,” katanya yang jelas tergambar kegembiraan apabila dapat memilih baju Melayu kegemaran.
Sementara itu, presiden Alumni Exsas, Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata program ini memberi peluang kepada pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan dan anak yatim piatu untuk merasai kegembiraan menyambut lebaran seperti insan lain.
“Bukan semua yang terpilih, kita hanya memilih pelajar yang miskin iaitu pendapatan isi rumah keluarga pelajar di bawah RM700,” katanya.
Katanya, melihat keceriaan pelajar ini ketika memilih pakaian hari raya mereka membuatkan beliau sungguh terharu dan gembira.
“Saya seronok melihat gelagat mereka kerana diberi peluang memilih pakaian mengikut warna kegemaran masing-masing.
"Harapan saya sumbangan ini dapat memberi kegembiraan seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Mohd Fuad memberitahu, selain baju raya, kesemua pelajar turut menerima duit raya yang akan disampaikan pada majlis berbuka puasa, petang semalam.
“Kita turut meraikan mereka dengan juadah berbuka puasa di SM Garden bagi menggembirakan hati pelajar selain menerima duit raya.
“Hanya ini saya kami sebagai bekas pelajar Semsas mampu lakukan untuk melihat mereka gembira pada hari lebaran yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.
Jelasnya, sejumlah RM20,000 berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan ahli Exsas seramai 1,500.
“Saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh ahli dan berhasrat untuk menganjurkan program sama pada masa akan datang,” katanya.