Farabi Said Al Jabri - Utusan Malaysia
31 Julai 2017 10:18 PM
KUALA LUMPUR 31 Julai - Sebanyak sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersenarai dalam kenaikan pangkat dan pertukaran berkuat kuasa 4 September ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad berkata, mendahului senarai Pengarah Penyelaras Operasi merangkap Penasihat Kepolisan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sanusi Sidek dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Turut terlibat, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan, Peperiksaan, Kompetensi) Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang akan menyandang tugas sebagai Setiausaha PDRM Bukit Aman.
“Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Pulau Pinang Asisten Komisioner Azmi Adam pula akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ramli dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Asisten Komisioner Muhammad Koey Abdullah yang memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan), Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (StaRT) memangku pangkat Senior Asisten Komisoner,” katanya di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Penolong Pengarah (D7A) Pencegahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Amir Rasid Derani akan bertukar portfolio sebagai Ketua Penolong Pengarah (D1) Kepolisan Kawalan Dalaman, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Tambahnya, Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintenden Mohammad Rafee Abu Bakar akan memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Persenjataan (C.B.R.N.E) Bahagian Persenjataan Jabatan StaRT Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
“Turut terlibat Ketua Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan Superintenden Noorzainy Mohd. Noor akan mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Azmi sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai yang baharu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
“Pegawai Turus Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Superintenden Mat Zani@ Mohd. Salahuddin Che Ali akan mengambil tugas sebagai Pegawai Turus Urusetia Ketua Polis Negara (KPN)(Pentadbiran), Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman,” jelasnya.
Jelas Asmawati, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komunikasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengambil alih tugas yang akan dikosongkan oleh Noorzainy sebagai Ketua Polis Daerah Jempol yang baharu. - UTUSAN ONLINE
http://m.utusan.com.my/berita/nasional/pdrm-umum-kenaikan-pertukaran-9-pegawai-1.509619