Oleh Mahanum Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Najmuddin Abdullah sebagai Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan. Dalam satu kenyataan, syarikat perladangan itu berkata, Najmuddin menyertai FGV dari MRT Corporation Sdn Bhd, yang mana beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Komunikasi Strategik & Pengurusan Pihak Berkepentingan.
Sebelum berkhidmat di MRT Corp, beliau adalah Naib Presiden & Ketua Komunikasi Strategik di Malaysia Airlines.
Sebelum itu, beliau memegang beberapa jawatan utama seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Global Logistik Sdn Bhd, Naib Presiden Komunikasi Korporat di Celcom Axiata Bhd dan juga Pengarang Urusan dan Ketua Berita di ntv7.
Najmuddin memperoleh Ijazah Sarjana Sastera Ekonomi dan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ekonomi dari University of Toledo, Ohio, Amerika Syarikat (AS) dan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA.
“Bagi pihak pengurusan, saya mengalu-alukan kehadiran Datuk Najmuddin Abdullah menyertai kumpulan FGV.
“Pengalaman luas beliau akan terus memperkukuhkan kedudukan syarikat untuk maju ke depan demi mencapai kejayaan berterusan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan.