catatan : Norrafidah Hashim (LM 0635)
Memang terasa berat tangan untuk menulis...juga untuk memberitahu kawan-kawan... kesedihan yang amat sangat. Hanya Allah yang tahu betapa sayangnya kami pada Abah. Tapi Subhanallah, Allah lebih sayangkan dia. Tanggal 9 May 2006, Allah telah menjemput Abah. Innalillah...
Terasa baru semalam Abah pergi. Namun hati ini masih menangis. Tangisan yang tak mungkin mengembalikannya. Masih terbayang saat-saat akhir bersama Abah. Ucapan 'Masih ada yang sayang' terngiang di telinga. Abah sakit tak lama... cuma seminggu. Sakitnya pun nampak tak berat. Tapi tak tahu sebab apa mungkin doa dia nak bertemu anak-anak sebelum dia berpisah membuat kami 7 beradik segera balik.
Selasa, 2 Mei 2006
Abah, Acu dan Mak ke Hospital Temerloh setelah dinasihat oleh doktor Klinik Sulaiman untuk ke sana. Katanya, jantung Abah lemah. Abah admitted.
Rabu, 3 Mei 2006
Aku yang paling dekat dengan kampung, ambil keputusan balik segera. Sempat jumpa doktor dan mintak dia refer ke IJN. Doktor Mynmar yang bertugas hari itu menghubungi IJN. Appointmentnya dapat 29 Mei, hampir sebulan lagi !!!
Abah masih sihat. Abah kata “dah habis surat khabar hari ni abah baca”. Masih ku ingat, muka depan…ayah Mawi sakit jantung.
Aku cium tangan Abah dan Abah mengusap belakang ku. Tengahari tu aku temankan abah makan...seleranya masih macam biasa. Sempat lagi Abah sedekah kan dua biji buah epal pada Pakcik di depan katil Abah. Katanya Pakcik tu sebatang kara….tak der yang datang melawat. Sifat Abah memang pemurah.
Petang tu, terpaksa balik KL sebab petangnya suami ada meeting. Malam tu kami terus jumpa Dr. Faizal teman semasa di ‘U’, cardio surgeon di IJN, mintak tolong percepatkan appointment.
Khamis, 4 Mei 2006
Abah masuk CCU sebab jantung nampak lemah dan doktor nak “close monitor”...Abah masih boleh solat...dan ternyata jantung dia nampak normal bila dia solat.
Leftenan Muda (U) Anuar, satu-satunya anak lelaki Abah, tiba dari Labuan. Kakak-kakak dan adik-adik semuanya balik berkumpul...abah kata dia 50% sembuh bila tengok anak-anaknya balik. Abah pindah wad biasa bila keadaan dia nampak stabil. Appointment IJN dapat dipercepatkan pada 8 Mei.
Jumaat, 5 Mei 2006
Aku balik sendirian ke Hospital Temerloh bila hati terdorong nak jumpa Abah lagi. Aku ambik cuti separuh hari. Aku belikan Abah kuih Serimuka dan Lompat Tikam...Abah makan bersama Mak di katil wad..Malam tu aku tidur di wad jaga abah. Abah macam biasa...masih boleh bangun..berjenaka...Abah kata “abah belum nak 'Mati'” ...Subhanallah sesungguhnya kita tak tahu bila ketika saat itu. Abah bercerita keadaan di CCU. Ada dua kematian…malam tu. Keluarga si Mati datang nak saman hospital sebab cuai…Berkali abah kata…dah ajal dia kenapa nak saman!!! Dia bukan orang kita (Islam) dan tak paham konsep ajal maut..
Malam tu aku keluar sekejap, mandi di bilik tamu hospital. Canggih sungguh Hospital Temerloh, siap ada rumah tamu. Beberapa bilik disediakan, ada ruang rehat dan juga ruang makan. Pelawat juga boleh tidur di situ.
Abah pesan nak makan mee basah. Aku keluar dengan Acu untuk “dinner” dan beli mee di warung tepi pagar Hospital Temerloh. Abah makan habis...Cuma ayam dia tak makan…Abah kata “bisa dengan lelah”..Aku habiskan saki baki makanan Abah.
Sebelum tidur aku bancuhkan kopi Ginseng yang dibelinya di kedai Bakar. Abah cerita Bakar hutang kopi dengan dia sebab bagi pek yang dah luak…
Malam tu Abah tak boleh tidur..lelah, kami panggil “nurse”. Lepas dapat 'Neb' Abah reda dan boleh tidur. Subuh tu aku dengar bacaan solat Abah...sayu hati..
Sabtu, 6 Mei 2006
Aku balik semula ke KL. Sempat bergambar buat kali terakhir di wad. Orang kata tak boleh bergambar kat Hospital!!! Tidak..tidak…bukan itu penyebabnya..Khurafat semua tu. Kakak serta adik masih di kampung. Aku balik dulu sebab anak-anak semua di KL.
Terasa sayu bila Aku bersalam dengan Abah malam tu. Aku tinggalkan Abah yang masih dikelilingi anak menantu dan beberapa orang cucunya. Abah memang “happy” malam tu. Tapi di celah-celah keriangan tu aku nampak sesekali Abah termenung.
Ahad, 7 Mei 2006
Abah masih di Wad. Keadaan masih terkawal dan nampak OK. Sesekali abah membaca buku Hikam yang sering menjadi temannya. Acu bawakan buku Hikam sebab itu buku ‘favourite’ Abah.
Surah Yasin yang sentiasa ada di atas meja di Wad tu dibaca setiap selesai solat. Mungkin dia nak tenangkan hatinya yang gundar dan risau. Abah banyak termenung.
Isnin, 8 Mei 2006
Abah ke IJN. Aku talipon Kakak pagi tu. Dia dah sampai awal lagi bersama Abah naik ambulan. Ditemani seorang doktor dan “nurse”. Pukul 12 tengah hari aku talipon lagi. Abah dah jumpa Dr. Fong. Menurut kakak Abah tak teruk sangat. Cuma jantung dia lemah nak kena tambah power. Aku sempat bercakap ngan abah..."Abah sakit sikit jer..." nak kena tambah power...tambah enjin proton 1.5...itulah Abah yang selalu berjenaka...walaupun di saat akhir. Tak perlu risaulah...petang ni Abah balik semula ke Hospital Temerloh dan esok Abah dah boleh balik rumah..Itulah kata-kata akhir Abah yang dapat ku dengar.
Dari IJN, Kakak berkejar ke Alor Star menguruskan mertuanya yang nak buat pembedahan “bypass”. Adik-adik pun masing-masing yang ikut abah ke IJN pun balik untuk meneruskan tugas. Yang tinggal cuma Acu dan adik lelaki mengiringi Abah balik ke Temerloh.
Selasa, 9 Mei 2006
Aku dikejutkan deringan handphone pada 6.30 pagi. dari Acu....terlompat aku...... Memang dijangka.... luluh hati hanya Tuhan yang ketahui perasaan masa tu. Abah pergi di pangkuan Acu...
5.30 pagi...seperti ada yang mengejutkan Acu..dia yang tidur ditepi katil tiba-tiba bangun dan terduduk Mungkin dikejutkan Malaikat...masanya sudah tiba untuk berpisah... Abah masih tidur...kemudian dia batuk-batuk lantas bangun duduk ..Duduknya seperti dalam solat mengadap kiblat. .Acu mendapatkan Abah...diberi Inhaler...masih batuk dan semput. Acu menekan butang panggil “nurse”. Sempat lagi Abah kata 'Tak Payahlah"....Itulah Abah yang tak suka menyusahkan orang...tidak sakitkah Abah masa tu masih...kata tak payah...Subhanallah... “Nurse” datang dan cuba membantu.. semua takdir Tuhan….Dalam keadaan kelam kabut itu dan tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat...Abah kembali ke Rahmatullah..
Al Fatihah …
(Lukman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. Surah Luqman (31:16)
Itulah ayat terakhir pesan abah buat kami anak-anaknya. Kakak dan Abah mengupas ayat ini semasa menunggunya di wad.
Al Fatihah buat Abah. Anak-anak Abah sangat menyayangi Abah dan akan terus merinduai Abah. Semoga roh Abah ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman.
Amin …
Norrafidah Hashim (84)
Sungai Buloh, Selangor