SIRI 6/2007
oleh : Azlina Dollah (77)
Jerantut, Pahang Darul Makmur
Assalamualaikum. Selamat bertemu kembali. Johor dilanda banjir pusingan kedua dan jika di teliti dalam mengharungi musibah banjir banyak unsur kemanusiaan terserlah baik positif maupun negatif. Yang pastinya kesedaran berhubung soal bantuan makin terserlah baik dari yang mengharapkan maupun yang menghulur dan menyelaraskannya. Jelas kelihatan pelbagai kerenah manusia dalam soal bantuan.
Sehubungan itu mungkin terlintas di fikiran kita tentang persediaan atau dalam kata lain simpanan kita. Akak rasa semua kita tentu percaya kepada keperluan mempunyai tabungan. Sebagaimana yang di perhatikan oleh seorang adik mengenai kenaikan Indeks Harga Pengguna yang sebenarnya menunjukkan kenaikan kadar inflasi di negara kita serta harga minyak mentah dunia yang dijangka turun ke paras lebih rendah berbanding sekarang apakah langkah kita seterusnya? Selamatkah tabungan kita di bank? Apa alternatif yang ada?
Minggu ini akak bawakan artikel berkaitan dinar emas yang ditulis oleh Prof Madya Dr Zuhaimy Hj Ismail bekas pelajar SEMSAS yang kini bertugas di UTM, salah seorang dari pelopor urusniaga dinar emas di negara ini.
Dinar Emas – Suatu Pengenalan ( Bahagian 1 )
(Prof Madya Dr Zuhaimy Hj Ismail)
Pengenalan
Ketika ringgit Malaysia diserang oleh spekulator matawang antarabangsa, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengambil satu langkah yang berani dan dilihat sebagai amat bertentangan dengan amalan konvensional pengurusan ekonomi sesebuah negara. Ketika hampir semua negara jiran termasuk Jepun tunduk kepada IMF, mantan PM menolak IMF dan mengambil beberapa langkah kritikal yang sukar diterima hatta oleh rakyat Malaysia sendiri dan di ragui keberkesanannya oleh masyarakat antarabangsa. Di antaranya adalah membatalkan penggunaan wang kertas denominasi RM500 dan RM1000, menghalang pengaliran keluar wang tunai serta mengikat Ringgit Malaysia ke satu nilai USD yang ditetapkan. Sehubungan itu beliau menyarankan pengunaan Dinar Emas bagi menggantikan penggunaan dolar Amerika. Sejak itulah dinar emas mula diperkenalkan secara meluas di Malaysia.
Pada zaman moden ini dinar emas mula diperkenalkan penggunaannya oleh sebuah gerakan ahli sufi. Sebuah jemaah pergerakan dakwah sedunia bernama Murabitun yang diasaskan oleh Shaykh AbdalQadir As-Sufi Al-Murabit (www.shaykhabdalqadir.org) telah menganjurkan satu seminar mengenai riba di Norwich pada tahun 1982. Berbagai isu berkaitan masalah sistem kewangan dan masalah riba dibincangkan di seminar ini. Seterusnya kajian mengenai wang kertas dan pendekatan untuk mengatasi masalah riba dikalangan masyarakat dunia telah dijalankan. Hasil penulisan Shaykh AbdalQadir telah sekian lama mendapat perhatian Universiti Sains Malaysia yang telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Persuratan pada tahun 2002. Kertaskerja yang dibentangkan semasa menerima anugerah tersebut menyentuh tentang isu Islam sedunia, masalah riba dan dinar emas. Pertemuan beliau dengan mantan PM telah mengukuhkan lagi keyakinan bagi mengerakkan usaha mengembalikan dinar emas ke persada dunia moden.
Sejarah Dinar Emas di Malaysia
Dinar emas telah digunakan di Eropah sebelum kewujudan Islam, seterusnya digunakan pada zaman Rasulullah s.a.w dan dimantapkan penggunaannya pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. Sejak itu, dinar emas dan dirham perak telah menjadi mata wang umat Islam di seluruh dunia.
Penggunaan dinar emas dan dirham perak di gugusan Tanah Melayu termasuklah Kijang Emas, Kupang Kelantan dan Pattani antara abad ke-15 dan 16, Dinar Matahari Kelantan pada abad ke-18 seterusnya Dinar Emas Sultan Abdul Jalil Shah III dan Dinar Emas Kedah dalam abad ke-17 dan 18.
Kijang Mas ialah sekeping duit emas daripada Kesultanan Kelantan ketika pemerintahan permaisuri Melayu, Che Siti Wan Kembang. Kepingan sampel dinar emas itu masih tersimpan dalam Muzium di Malaysia sebagai bukti bahawa bumi Malaysia pernah menggunakan dinar emas dan dirham perak.