Kuala Lumpur, 7 Sept. 2006. Warga Exsas baru-baru ini telah digemparkan dengan berita bahawa Kak Seha disahkan mengidap kanser paru-paru. Kak Seha atau nama sebenarnya Norsehah Abu Bakar yang berasal dari Kuantan adalah bekas pelajar SEMSAS dari tahun 1975 hingga 1979 dan merupakan bekas penganyi kumpulan Freedom yang terkenal suatu masa dahulu.
Pada AGM 7 Exsas yang telah diadakan pada awal tahun ini, Kak Seha telah dipilih mengisi jawatan Exco Exsas untuk penggal 2006-2008. Perwatakan beliau yang peramah telah membuatkan ahli Exsas yang lebih junior senang untuk mendekati beliau. Begitu juga hubungan dengan rakan-rakan 'batch' beliau, amat baik sekali.
Satu sesi lawatan telah diadakan oleh Presiden Exsas, Ir Muhammad Imran bersama beberapa rakan 'batch' beliau yang lain termasuk bekas Presiden Exsas, Ismail Abdullah (79) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur pada hari Selasa lepas. Dalam pertemuan tersebut Kak Seha telah memaklumkan bahwa kanser yang dihidapinya bermula dibahagian lain dianggota badannya dan seterusnya merebak ke paru-paru. Beliau juga menyangkal beberapa berita media yang menyebut kanser tersebut bermula di paru-paru. Semasa lawatan tersebut, Kak Seha nampak begitu bersemangat, berkeyakinan dan berada didalam keadaan yang baik. Sebelum mengakhiri pertemuan tersebut, Presiden Exsas telah menyampaikan sumbangan yang tidak seberapa sebagai tanda kasih dan prihatin warga Exsas terhadap beliau.
Dalam temubual melalui telefon sebentar tadi, Kak Seha sempat mengucapkan penghargaan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga diatas sokongan yang telah diberikan oleh semua warga Exsas terhadap beliau. Sejak berita ini tersebar, Kak Seha telah menerima banyak panggilan telefon dan SMS dari warga Exsas yang prihatin walaupun ada diantara mereka yang tidak pernah bersua muka dan saling tidak mengenali diantara satu sama lain. Namun diatas satu nama Exsas, tiada halangan untuk semua itu.
Seluruh warga Exsas memanjatkan doa keatas kesihatan beliau dan juga warga Exsas yang lain. Semoga tabah didalam mengharungi dugaan dari Yang Maha Esa.
Qisan 88
Setiausha Exsas 06-08