Oleh : Qisan
KUALA LUMPUR, 27 September 2006 : Sebagaimana yang telah diatur oleh Presiden, satu pertemuan dengan Kak Seha telah diadakan di kediaman beliau pada hari ini jam 3.30 petang. Turut bersama di dalam pertemuan tersebut ialah Sdr Rahasdin dari batch 82. Mengikut perancangan awal, Cikgu Ghafar sepatutnya bersama kami, namun beliau tidak dapat hadir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan. Setibanya di pintu kediaman beliau, kami telah disambut dengan senyuman manis dan wajah comel Karissa yang petah berkata-kata. Kak Seha yang baru sebentar tadi pulang dari menjalani rawatan di Hospital muncul dengan senyuman menyapa dan kami terus berbual. Daripada cerita dizaman Semsas hinggalah cerita bagaimana beliau mula dimaklumkan tentang kesihatan beliau sekarang. Tatkala berbual Kak Seha sempat menjawab panggilan telefon dari mereka yang perihatin dengan keadaan beliau sekarang. |
Dari riak wajah dan pertuturan Kak Seha, terdetik dihati saya menyatakan bahawa wanita yang berada dihadapan saya ini adalah seorang wanita yang kuat semangat, tabah dan mempunyai keyakinan yang amat tinggi. Masakan tidak, didalam situasi beliau kini bagi sesetengah pesakit, tidak mampu untuk berkata-kata apatahlah untuk berdiri dan berjalan.
"Ini berkat doa anda semua, terima kasih" ujar Kak Seha
Menurut Kak Seha, beliau pasrah dengan keadaan beliau sekarang dan akan terus menjalani rawatan sebagaimana yang telah ditentukan. Beliau juga akan cuba melawan dengan membangkitkan kekuatan mental dan keyakinan diri sendiri. Selepas menjalani beberapa rawatan kimo dan radioterapi, beliau merasakan lebih sihat.
Sebelum kami menamatkan kunjungan, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Exsas yang telah mengunjungi beliau tempohari dan segala usaha yang telah dibuat semata-mata untuk membantu. Kak Seha juga berterima kasih kepada email dan sms dari warga Exsas bertanyakan tentang keadaan beliau. Kunjungan kami berakhir pada jam 4.30 petang dengan meninggalkan Karissa dan Kak Seha dengan doa agar beliau cepat sembuh dan kembali kepada kehidupan yang asal. Dan semoga Allah SWT memberikan kebahagian dan rahmat kepada mereka sekeluarga.