Kuantan - Program Beli Baju Raya - EXSAS bersama pelajar terpilih Semsas 2014 telah berjaya diadakan pada 18 Julai 2014 di Alamoda, Jakel Kuantan.
"Seramai 60 orang pelajar kumpulan pertama terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima", kata Cikgu Yuslina, Penyelaras Program dan juga guru kaunseling Semsas.
Tepat pada 3.00 petang, para pelajar menuju ke Alamoda, Jakel Kuantan menaiki 2 buah bas diiringi Guru-Guru, Presiden EXSAS Sdr Mohd Fuad Kamal Ariffin dan Setiausaha Exsas Sdr Azhar Aziz yang tiba dari Shah Alam pada hari tersebut.
Ketibaan pelajar-pelajar SEMSAS telah disambut meriah oleh Pengurus, kakitangan Alamoda dan juga warga EXSAS dari pelbagai batches di Alamoda.
Setiap pelajar lelaki kemudiannya memilih sepasang Baju Melayu berserta samping manakala pelajar perempuan pula memilih sepasang Baju Kurung beserta tudung. Mereka dibantu oleh kakitangan Alamoda yang cukup terlatih dan mesra.
Kos pembelian pakaian Raya tersebut datangnya dari sumbangan warga Exsas yang perihatin. Pihak Alamoda juga telah bermurah hati memberi diskaun hampir 32%.
Program di Alamoda diakhiri dengan pemberian 'Duit Raya' oleh Pengurus Alamoda. Guru Pengiring dan warga EXSAS yang hadir juga turut menerima cenderahati daripada pihak pengurusan. Terima kasih semua.
Program seterusnya adalah Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh di Shahzan Inn. Majlis dimulakan dengan Tazkirah Motivasi oleh Tuan Hj Azman Taher (79) yang juga YDP PIBG di Dewan Puteri Lela Ballroom sebelum majlis berbuka puasa diadakan di dewan bersebelahan.
Tuan Pengetua yang tidak berkesempatan untuk hadir pada sebelah siang tadi, dapat meluangkan masa untuk bersama anak-anak Semsas dan juga warga EXSAS untuk berbuka puasa bersama.
Dua orang tahfiz, Nosyabani Al Amin Abdul Talib dan Muhammad Ariff Fadly Mohammad Saleh dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang dijemput khas untuk mengimamkan solat. Jamuan buka puasa bermula sebaik sahaja selesai solat Maghrib dan diikuti dengan solat Isyak dan Tarawikh.
Sebelum para pelajar pulang ke Semsas, mereka telah sekali lagi mendapat 'Duit Raya' daripada kutipan sumbangan EXSAS. Manakala kesemua lebihan sumbangan EXSAS yang diterima setakat hari tersebut telah diserahkan kepada Tuan Pengetua untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar lain yang berkenaan. Majlis berakhir lebih kurang jam 10.30 malam.
Exco EXSAS yang hadir mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama Tuan Pengetua. Semoga apa yang dibincangkan akan memberikan manafaat kepada semua pihak.