Berita Harian : Jumaat, 23 Januari 2015 - 12:04PM
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar UniKL maut, manakala ibunya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bersama tiga yang lain, terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 107 Lebuhraya Utara Selatan, dekat susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Selatan di ini, pagi tadi.
Pelajar berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sejurus MPV yang merempuh bahagian belakang treler itu terperosok ke bawah badan kenderaan berat terbabit kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketika kejadian, MPV dinaiki mangsa bersama ibu dan bapanya, selain dua rakan dipercayai cuba memotong treler di hadapan, namun gagal kerana terdapat kenderaan lain yang datang dari arah belakang sebelum tergesa-gesa memasuki semula laluan asal.
Jurucakap polis berkata, ketika cuba memasuki laluan asal itu, MPV terbabit merempuh bahagian belakang treler sebelum terperosok ke bawahnya, lalu tersekat pada badan kenderaan berat berkenaan dan diseret sejauh 30 meter.
Sepasukan anggota bomba turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Penuntut UniKL maut kereta rempuh treler
Harian Metro : Oleh Omar Osman
Sungai Petani: Seorang penuntut UniKL maut manakala seorang wanita parah selepas kereta dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 107 Lebuhraya PLUS dekat susur masuk ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan berhampiran Taman Sejati Indah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa, Muhammad Asyran Mohd Najib, 23, yang berasal dari Pahang maut di tempat kejadian manakala Penolong Pegawai Tadbir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Narizah Ismail, 53, cedera akibat tersepit.
Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mangsa bersama tiga lagi penumpang iaitu suami, anak mangsa serta dua rakan anak mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Taman Mahsuri, Jitra.
Suami mangsa yang memandu kenderaan itu dipercayai mengekori treler lalu cuba memotong di laluan kanan namun gagal kerana ada kenderaan menyebabkan pemandu itu masuk semula ke laluan kiri sehingga merempuh treler berkenaan dan diseret sejauh 30 meter.
Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.