Umavathi Ramayah, Astro Awani | Diterbitkan pada April 09, 2020 21:34 MYT
MELBOURNE : Menariknya di Australia, kerajaan tidak melaksanakan sebarang sekatan jalan raya seperti di Malaysia bagi membendung penularan wabak pandemik, namun demikian, tahap pematuhan rakyat di negara itu adalah amat tinggi.
Perkara ini barangkali disumbangkan oleh penguatkuasaan undang-undang yang menetapkan hukuman denda sehingga AUD1,652 (RM4,463) kepada individu yang gagal memberi alasan munasabah untuk keluar dari rumah ketika pemeriksaan mengejut dijalankan.
Berkongsi pengalaman dari Springwell, Australia, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari timur Melbourne, penuntut Malaysia, Wan Khairul Anuar Wan Mohd Zain memberitahu, pun begitu, penduduk Australia masih dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, mendapatkan rawatan serta bersenam.
Anak kelahiran Felda Mempaga Satu, Bentong, Pahang yang baru mendaftar masuk pengajian Sarjana Sains Data di Universiti Monash di Melbourne itu pada 2 Mac lalu itu berkata, beliau tidak langsung menjangkakan situasi pandemik akan mengubah wajah dunia termasuk Australia.
"Saya hanya sempat mengikuti satu kuliah sahaja, selepas itu pengurusan universiti mengambil keputusan untuk melaksanakan pembelajaraan atas talian sebagai langkah pencegahan awal.
"Malah minggu orientasi yang sepatutnya dijalankan bagi pelajar baharu juga dibatalkan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
Wan Khairul Anuar menambah, lebih sedih lagi, beliau sepatutnya membawa isteri dan anak-anaknya ke negara itu dalam masa sebulan sebaik sahaja urusan rumah dan sekolah selesai.
Namun melihat pada situasi semasa, katanya, perkara itu mungkin mustahil buat masa ini.
Sama seperti Malaysia, beliau memberitahu, pembelian panik juga berlaku di Australia pada awal pelaksanaan sekatan keluar rumah.
"Hampir semua pasar raya di sekitar kawasan tempat tinggal saya kosong. Namun sekarang situasi menjadi seperti biasa," katanya.
Wan Khairul Anuar berharap, warga dunia termasuk rakyat Malaysia akan dapat membendung wabak pandemik yang setakat ini telah membunuh hampir 90,000 orang di dunia.