Oleh: Nurul Fatihah Sulaini
PERMAISURI: Setiu dijangka memperoleh kompleks mahkamah majistret yang baharu bagi mengantikan bangunan sedia ada yang disewa sejak 32 tahun yang lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tapak cadangan kompleks mahkamah bernilai RM15juta itu sudah dikenal pasti.
"Ia kini dalam proses kelulusan tanah di peringkat pejabat tanah dan negeri.
"Jika segalanya berjalan lancar kemungkinan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga empat tahun.
"Dalam tempoh jangka masa pendek Mahkamah Majistret Setiu sedia ada akan dipindahkan ke bangunan sementara yang lebih selesa," katanya selepas lawatan kerja ke Mahkamah Majistret Setiu, di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, secara keseluruhan sebanyak 82 bangunan mahkamah di seluruh negara sedang dibaik pulih sejak awal tahun ini.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/06/702909/setiu-bakal-dapat-kompleks-mahkamah