oleh : Azlina Dollah (77)
Jerantut, Pahang Darul Makmur
Assalamualaikum adik-adik,
Cuti sekolah masih panjang. Rasanya ramai di kalangan adik-adik mempunyai anak-anak di peringkat sekolah rendah. Agaknya ramailah ibu yang kepenatan dan diserang “migraine” akibat melayan kerenah anak-anak yang dua puluh empat jam berada di rumah (hari biasa persekolahan mungkin jumpa anak-anak sebelah malam sahaja). Walaupun nampak seperti bapa (yang tentunya sibuk di pejabat dan mesyuarat lepas pejabat) tidak diserang sakit kepala tapi migrain ibu yang tidak dapat di hilangkan dengan panadol (sesiapa yang tak pernah dengar lawak panadol boleh tanya kanda Bosqa atau dinda Azanil) boleh menyebabkan kepala bapa juga turut berdenyut.
Berbalik kepada program Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI/ETeMS), ramai di kalangan kita yang punyai pendapat sendiri. Dari pengalaman akak, tidak ramai yang mempunyai pandangan positif berkaitan program ini. Rata-rata, ramai yang nampak kelemahan dan keburukannya. Sentimen yang sama dilihat ketika RM diikat (pegged) kepada USD suatu masa dulu dan kini Indeks Komposit KL sudah melepasi sekatan psikologi malahan menerawang ke tahap tertinggi semenjak sembilan tahun lalu. Jika RM tidak diikat kepada USD sebaliknya kita memilih IMF, mungkinkah Indek Komposit melepasi halangan itu lebih awal?
Sebagai guru, akak pernah dijerkah oleh ibubapa dan kadang-kadang rakan guru sendiri yang tidak puas hati dengan konsep dan perlaksanaan PPSMI. Di antara isu yang sering ditonjolkan ialah kepentingan Bahasa Kebangsaan, pelebaran jurang pencapaian pelajar di bandar dan luar bandar dan penguasaan BI yang lemah di kalangan guru-guru yang terlibat.
Biar apa pun hujjah yang dikemukakan bagi setiap isu, di hujungnya adalah anak-anak kita. Kepada adik-adik yang risau dan keliru dengan PPSMI, akak nasihatkan janganlah luahkan kerisauan dan kekeliruan tu di depan anak-anak, terutamanya bila anak-anak bertanya sesuatu dalam BI dan adik-adik dapati memang silap cikgu. Jika kita kutuk cikgu tu ‘bodoh, bangang, apa punya cikgu ni’ di depan anak-anak, bayangkan macamana kelirunya anak-anak tu nanti.
Untuk membolehkan sebarang pembelajaran berlaku di bilik darjah, anak-anak perlu hormat dan percaya kepada orang yang berada di depan kelas. Jika mereka mendengar ibu dan/atau bapa (atau sesiapa saja yang berpengaruh dalam hidup mereka) ‘mengutuk’ cikgu mereka, agaknya mahukah mereka dengar dan percaya apa yang cikgu cakap atau ajar.
Perlaksanaan program ini di peringkat sekolah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan ramai, namun akak ingin menyeru kepada adik-adik supaya jangan tambah memburukkan keadaan sebaliknya mengambil langkah bijak menangani kecelaruan ini.
Jika kita rasa seorang cikgu tu ‘teruk’ sangat BI nya, akak cadangkan kita guna saluran PIBG atau boleh terus ke sekolah jumpa Guru Besar/ Pengetua. InsyaAllah, dengan bekerjasama kita boleh mencari satu jalan tengah yang menguntungkan kedua-dua pihak. Apa yang akak lihat, ramai ibubapa yang kelam kabut hantar anak-anak ke kelas tuisyen persendirian dengan harapan cikgu kelas tuisyen ada pil ajaib dan anak-anak boleh dapat markah 100% bagi setiap subjek dalam ujian/peperiksaan. Kecenderungan ini tidak ubah seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing (mungkin ada yang tak pernah dengar peribahasa ini) atau istilah paling hampir masyarakat sekarang ialah ‘kiasu’.
Daripada menghantar anak ke kelas tuisyen, apa kata PIBG taja kelas BI untuk cikgu PPSMI sekolah tersebut dan dapatkan tutor dari British Council misalnya. Atau mungkin ada di kalangan ibubapa sendiri yang boleh jadi tutor.
Mungkin ada yang berpendapat cadangan seperti ini hanyalah mengarut atau rapuan semata. Begitu, cadangkanlah sesuatu yang lebih baik. Jangan kita hanya tahu mengutuk tapi kita sendiri tidak ada cadangan yang lebih baik dan praktikal.
Keberkesanan PPSMI hanya boleh dinilai menerusi UPSR 2008. Sementara itu petunjuk yang bermakna (reliable indicator) pada masa ini adalah pencapaian anak-anak yang berada di Tahun Empat 2006. Maaf kerana akak tiada sebarang statistik untuk dikongsi. Izinkan akak mencadangkan sekali lagi agar kita menyalurkan tindakan melalui PIBG. Kementerian Pelajaran sangat mengalu-alukan penglibatan aktif PIBG. PIBG boleh mendapatkan data berkaitan dari pihak sekolah untuk di analisis dan seterusnya mengambil tindakan preventif atau proaktif yang sesuai.
Sebagai kesimpulan, walaupun PPSMI banyak mengundang resah dan marah namun janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Anak-anak kita adalah masa depan kita. Globalisasi dan “coca-colanization of the world” memadamkan sempadan geografi dan budaya yang kita kenali selama ini. Bagaimanakah rupa masa depan yang akan dihuni anak-anak kita? Berapa ramai di antara kita hari ini yang terkilan kerana tidak serius menguasai BI masa sekolah? Bukan bermaksud mengagungkan BI tetapi sekadar melafazkan kesugulan melihat anak-anak yang ketinggalan hanya kerana tidak mahir BI.
Selamat meneruskan cuti.