oleh : Azlina Dollah (77)
Jerantut, Pahang Darul Makmur
Assalamualaikum, Apa khabar warga EXSAS? Cuti sekolah hujung tahun tinggal dua minggu sahaja lagi. Mungkin ibu bapa yang sakit kepala minggu lepas sudah makan panadol. Nampaknya Taufan Durian yang di laporkan beralih arah telah melintas negeri Terengganu menyebabkan bunga-bunga jatuh berguguran dan lebah menghasilkan madu istimewa untuk para bapa. Minggu ini akak telah menjemput Pae untuk berceloteh dalam ruangan ini. Kepada adik-adik yang berminat untuk berceloteh, silalah hantarkan tulisan adik-adik ke alamat akak di atas. Wassalam.
“ANDA TIDAK GAGAL.... ANDA HANYA MENEMUI CARA YANG TIDAK BERKESAN.” Oleh : Kak Pae 77 (
GAGAL – satu perkataan yang boleh membawa mimpi buruk kepada sesiapa jua, yang boleh mengakibatkan ketegangan dan “huru-hara” dalam hubungan, terutama ibubapa dan anak.
Boleh dikatakan semua ibubapa amat mementingkan kejayaan anak-anak terutama dalam bidang akademik, kerana ianya dilihat sebagai tiket untuk kehidupan atau masa depan yang lebih baik. Sejak dulu, masa depan yang baik digambarkan dengan memilikki pangkat besar, gaji besar, rumah besar, kereta besar dan apa jua lagi yang besar-besar belaka (errr .. termasuk hutang besar? Maaf, sekadar berjenaka!) Bagi kebanyakan orang Melayu, semua itu hanya dapat diperolehi melalui bekerja dan untuk itu, mestilah “lulus universiti”, lebih membanggakan jika universiti luar negara (lebih prestij tu!). Akhirnya, orang-orang yang memenuhi criteria diatas akan di”nobat” sebagai berjaya, walaupun jika sebahagian besar hasil pendapatannya diperolehi secara tumbuk rusuk.
Berbalik kepada “GAGAL”, diperhatikan bahawa terdapat berbagai persepsi dan definisi mengenainya.
Ambil contoh bidang pelajaran:
Ada ibubapa menganggap anaknya gagal jika tidak memperolehi semua “A” dalam peperiksaan, ada pula merasakan anak-anak gagal jika tidak dapat no. 1 dalam kelas (walaupun dapat semua “A”), tidak dapat masuk sekolah asrama penuh atau IPTA, tidak sepandai anak jiran sebelah yang bukan sahaja cerdik tetapi memiliki bakat sukan/seni dan bermacam-macam lagi.
Apabila anak-anak dianggap gagal, maka ada golongan ibubapa yang “lupa diri” memaki hamun anak-anak dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Adalah wajar untuk merasa kecewa atau marah jika anak-anak tidak memenuhi potensi mereka, (kerana malas, alpa atau tidak ambil berat) tetapi biarlah marah itu secara nasihat, amaran keras dan/atau denda; tidak dengan memaki-hamun yang jika dibuat berterusan, mungkin akan mengakibatkan hati terguris, dendam serta rasa benci. Lebih buruk jika ia menjadikan anak-anak mempunyai “low self-esteem” dan akan cuba membuktikan mereka hebat dengan melakukan kegiatan-kegiatan kurang sihat seperti merempit, membuli, salahguna dadah dsb.
Walaupun kejayaan akademik itu amat penting, kita harus juga tahu kemampuan akademik anak-anak kita. Ada anak-anak yang lebih terjurus kearah kemahiran vokasional; adalah lebih baik mengembangkan kemahiran dan minat yang mereka ada. Dengan dorongan dan bimbingan, mereka mungkin akan cemerlang dalam bidang yang diceburi. Dan seterusnya berjaya mendapatkan symbol-simbol kejayaan yang dinyatakan terdahulu.
Sebenarnya kegagalan ditemui dimana-mana saja dalam kehidupan seseorang, bezanya darjah kegagalan sahaja yakni besar, sederhana atau kecil. Gagal naik pangkat, gagal dalam perkahwinan, gagal ujian memandu, gagal mengawal nafsu, gagal menjadi ibubapa/pemimpin/sahabat/saudara yang baik, gagal mendapat pekerjaan idaman dan berbagai kegagalan lagi.
Yang penting kita belajar dari kegagalan dan berusaha untuk memperbaikinya. Bersabarlah dengan anak, anak didik dan sesiapa jua yang berkenaan (waima diri sendiri) yang gagal atau dianggap gagal; serta bimbinglah mereka untuk bangkit kembali. Kerana disatu ketika kita juga mungkin melalui detik yang sama dan sudah pasti kita amat mengharapkan simpati dan empati untuk melalui kegagalan itu. Apalagi jika kita pernah merasa keperitan sebuah kegagalan.
Dan akhir kata, jangan hanya mengukur kejayaan dari segi material.
“Apa yang anda pelajari selepas kegagalan sahaja yang dikira. Kegagalan itu sendiri tidak dikira.”