Assalamu’alaikum……
Terima kasih kepada Exco EXSAS sesi 2010 - 2012 kerana telah menyediakan satu ruangan khas untuk Ayahanda berceloteh, yang Ayahanda namakan CORETAN SEMSAS.
Ramai ahli EXSAS mencadangkan supaya Ayahanda menulis memoir semasa Ayahanda di SEMSAS. Mereka menyarankan agar kenangan pahit maung, masam dan manis dirakamkan untuk mengimbau kembali kehidupan di situ yang mempengaruhi hidup kita sekarang.
Pada mulanya Ayahanda agak keberatan untuk memenuhi permintaan mereka. Ada beberapa sebab yang membuatkan Ayahanda merasa sedemikian. InsyaAllah Ayahanda akan coretkan sebab-sebab itu dalam keluaran akan datang. Sempena bulan Syawal yang mulia ini Ayahanda mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua EXSAS khasnya pengunjung sesawang ini.
Terbitnya celoteh sulong ini adalah juga hasil dari saranan bertalu-talu dari immediate pass Exco EXSAS dan Exco sekarang. Mereka menyarankan sempena syawal yang mulia ini eloklah ruang ini digerakkan. Ayahanda cuba tunaikan permintaan itu.
Bagi insan biasa Ramadan dan Syawal meninggalkan banyak kesan dan kenangan. Bagi Ayahanda Ramadan di SEMSAS sungguh bermakna dan membawa banyak kenangan. Berbagai aktiviti yang kita lakukan dan jalani. Kita ada tarawih, tadarus dan khatam Al-Quran. Secara kebetulan selama sepuluh tahun di SEMSAS kita menyambut Ramadan bersama kerana Ramadan tidak pernah jatuh pada cuti panjang akhir tahun.
Antara kenangan Ramadan di SEMSAS yang masih segar di ingatan Ayahanda ialah bila pengawas menangkap pelajar ponteng puasa. Kadang-kadang pengawas yang baik hati tidak membawa “pesalah” kepada Pengetua – kesian katanya…maklumlah Pengetua terkenal dengan garangnya. Tapi adakalanya juga bila sampai ke Pejabat Pengetua, “pesalah” diberi warning sahaja kerana Pengetua takut juga puasanya kurus kalau merotan. Kes-kes lepas ini adalah kes-kes yang ada alasan menasabah seperti demam, sakit perut dan sebagainya (walaupun kadang-kadang tipu juga tetapi mereka lepas atas benefit of doubt). Anakanda semua boleh teka pesalah ponteng puasa yang mana yang tak lepas dari rembatan rotan? Tekaan anda tepat - iaitu mereka yang ponteng puasa kerana nak merokok……
Menggendalikan anak-anak dalam bulan puasa memang letih, apatah lagi kalau anak seramai 640 orang - pada satu ketika mencecah 800 orang. Lebih mencabar lagi mengejar yang ponteng tarawih – ada yang bersembunyi dalam tandas dan ada yang pura-pura sakit.
Waktu bersahur banyak juga kisahnya. Waden-waden mengeloh sukarnya mengejut anak-kanak kecil (Tingkatan 1 dan 2) untuk bangun bersahur. Golongan ini kadang-kadang jadi mangsa kerana apabila mereka akhirnya turun untuk bersahur (dah lewat) share mereka sudah di faraidkan oleh senior. Yang tinggal hanyalah susu magnolia berperisa strawberry - yang memang ramai tak suka dan tak biasa……….