BAHAGIAN KEDUA
Biasalah pada bulan puasa ibubapa yang anak-anak mereka berada di asrama terkenang akan anak-anak mereka. Antara soalan yang sering bermain di kepala ibu-ibu terutamanya… - apalah yang anak-anak mereka makan di bulan puasa ini; entah cukup entah tidak.
Ibu-ibu yang anaknya berada di SEMSAS juga begitu. Di asrama SEMSAS, para pelajar berbuka dengan tamar, sepotong kuih Melayu dan sajian nasi mengikut menu harian waktu makan tengahari. Waktu moreh selepas tarawih menu minum petang, kuih melayu disajikan dan waktu sahur, menu makan malam disajikan – manalah cukup untuk tubuh yang sedang membesar.
Sekali sekala adalah menu tambahan, seperti nasi minyak. Namun bagi sesetengah keluarga (tentunya dari golongan berpendapatan atas dari paras sederhana dan elit) ini jauh dari mencukupi untuk anak-anak mereka yang sedang membesar. Maka banyaklah Ayahanda mendapat teguran dari mereka bahawa apa yang disediakan itu tidak mencukupi. Sungguhpun begitu, ramai juga yang menganggap apa yang mereka dapati adalah lebih dari apa yang mereka harapkan.
Oleh kerana bimbang anak-anak mereka tak cukup nutrition sepanjang bulan puasa, ramai ibubapa yang berupaya khususnya yang berada di sekitar Kuantan dan Pekan datang membawa juadah tambahan kepada anak-anak mereka di setiap hujung minggu. Sekurang-kurangnya dengan seminggu sekali disajikan menu tambahan dan home-cooked meal, tentunya ada kelebihannya - pertama memecah monotonous masakan kawah (mana nak lawan masakan ibu); dan kedua tentunya anak-anak mereka dapat makanan secukupnya (sekurang-kurangnya untuk hujung minggu itu).
Kesian anakanda-anakanda yang datang dari jauh; ibubapa tak mungkin dapat datang saban hujung minggu membawa juadah yang menyelerakan. Pandang sajalah….. Namun anak-anak SEMSAS dididik dengan falsafah hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Mereka yang mendapat hidangan dari rumah biasanya dengan murah hati mempelawa kawan baik mereka untuk sama-sama merasa bekalan dari rumah itu. Ada juga jenis tak mahu share. Kata orang takut tiris lalu tumpah…. Apa yang terjadi? Ada dilaporkan kepada Ayahanda bahawa bekalan dari rumah ini dihijack oleh “kutu-kutu”; tinggal sedikit sahaja untuk tuan yang empunya……..Pengetua senyap aje…(kesian…)
Golongan yang suka hijack ini sedikit sahaja - yang memang nakal. Yang ponteng puasa merekalah juga; yang ponteng tarawih merekalah juga. Tetapi nak marahkan mereka pun tak boleh juga. Bottomlinenya ialah memang mereka sedang membesar, dan hidangan yang disediakan hanya mematuhi piawai mencukupi untuk keperluan. Bagi pihak sekolah pula, apa lah yang boleh Ayahanda buat dengan bajet RM1.90 sehari; samada hari biasa atau bulan puasa.
Di masa yang kita ceritakan ini SEMSAS baru setahun jagung. Sudah tentu wang lebihan dana asrama belum banyak berbanding dengan SBP yang dah wujud lama; mereka mempunyai wang lebihan yang terkumpul dari tahun-tahun sebelumnya dengan begitu banyak dan mampu memberi menu tambahan. SEMSAS dikala itu hanya mampu memberi Susu Magnolia Berperisa Strawberry…… (difahamkan susu adalah makanan yang lengkap dan mampu menahan dari lapar). Tak percaya? Kenapa yang mula-mula anakanda minta dari ibu anakanda takkala dilahirkan ialah…… susu?? Tak tahulah Ayahanda berapa ramai yang tak suka susu tersebut. Yang pasti apa yang diletak atas meja habis; dan kadangkala waktu spot check, terjumpa pula Susu Magnolia Berperisa Strawberry tersorok dalam locker… Wallahua’lam…..