Kita hentikan kisah Susu Magnolia kerana ini merupakan intro sahaja. Dua episod terdahulu itu adalah kejadian bermula dari tahun kedua SEMSAS – di kampus sendiri di Jalan Gambang, Kuantan. Ayahanda percaya ramai ingin tahu sejarah penubuhan SEMSAS……..
Pagi 29 November 1972, Ayahanda berada di sebuah kedai runcit di Kuantan, membeli peralatan maternity. Subuh itu di Hospital Kuantan Bonda telah melahirkan anak kami - Nora. Prosidur hospital masa itu ialah apa sahaja item pakai-buang yang digunakan waktu bersalin perlu diganti. Ayahanda dibekalkan satu senarai item-item yang perlu dibeli untuk diganti kepada pihak hospital (walhal Bonda berada di wad kelas satu). Sedang membeli barang-barang itulah Ayahanda terserempak dengan bekas guru Ayahanda (yang pada masa itu menjadi Pengelola Sekolah Menengah di Pejabat Pelajaran Pahang. Dialog antara ex-teacher dengan ex-student lebih kurang begini:
Ex-teacher : “Ah Rahim, lucky that I meet you here”
Ex- student (stunned): “What about, Sir” (dulu murid memanggil sebagai “Sir”)
Ex-teacher : “Pengarah wants to see you, urgent”
Ex-student: (mula gabra, malam tu dahlah tak tidur, merengkok dalam Fiat 124 menunggu kedatangan Nora; sekarang bos nak jumpa – urgent. Dalam hati tertanya-tanya apa halnya pulak - jangan-jangan berlaku sesuatu di SMK Rompin; maklumlah dah 3 hari tinggalkan sekolah kerana berada di Kuantan. Masa itu Ayahanda Pengetua SMK Rompin) “But Sir, I don’t think I can see him today. My wife is in the hospital - just gave birth to a baby girl this morning. I have to attend to this first”.
Ex-teacher:“Oh! Congratulations. You attend to that fast and see the Pengarah this afternoon”.
Ex-student (bengang): “Yes Sir”… dan ‘Sir’ pun berlalu.
Setelah selesai urusan di hospital, dan setelah memberitahu Bonda, tengahari itu Ayahanda pun pergilah ke Pejabat Pelajaran. “Pengarah is expecting you Encik Rahim” kata pembantu peribadi (P.A) Pengarah. Oleh kerana tiada tetamu lain P.A. pun mengiringi Ayahanda masuk ke bilik Pengarah.
Sebenarya dah lupa perasaan masa itu… takut ke, risau ke…tak tahu. Tapi bila nampak Pengarah senyum, hilang rasa cemas.
“So, you got a baby girl, congratulations. Sit down.” Pengarah menyapa dan memulakan bicara.
Sambil duduk Ayahanda berkata: “ Mr. Ghosh said you wanted to see me, Tuan” (Mr. Ghosh tu ialah ex- teacher yang dimaksudkan tadi).
Pengarah, Encik Tan Boon Lin (kini Datuk Tan Boon Lin), setelah bertanya khabar hal diri, keluarga dan perkembangan di SMK Rompin, terus melepaskan “bom”.
Pengarah: “Yes…yes, I want you to go back to Rompin as soon as possible; tidy-up your work and hand over to your Senior Assistant……..”
Ayahanda panik, tadi Pengarah senyum-senyum, kini lain macam pulak bunyinya (sahlah ada kesilapan yang dilakukan: nak siap hand-over note tu ertinya kena tukarlah…) ”Kenapa Tuan?” terpancut soalan yang tidak disangka.
“You are going to Temerloh: to start a new school. KPPM (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) has picked you to start this new school - Sekolah Menengah Sains”.
Memang di kalangan kami pernah mendengar Pahang akan mendapat sebuah Sekolah Berasrama Penuh ; tetapi kita tak tahu bila dan di mana akan didirikan. Pengarah memberitahu bahawa kerja-kerja pembinaan sekolah tersebut baru nak bermula di Batu 8 Jln. Gambang, Kuantan sedangkan sekolah mesti beroperasi pada 1.1.1973. Oleh itu Pengarah memberitahu bahawa Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP) - nama yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran, akan menumpang di Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh sehingga bangunannya sendiri siap dibina.
Ayahanda hanya mampu tunduk, bermacam-macam perkara timbul dalam fikiran - isteri dan anak di hospital, balik segera ke Rompin, siapkan hand-over note, kemas barang-barang seorang diri untuk pindah ke Temerloh, mulakan sekolah baru….
Tanpa menunggu jawapan atau reaksi Ayahanda, Pengarah mengeluarkan dari laci mejanya sehelai kertas mengandungi senarai nama pelajar-pelajar yang telah dipilih untuk masuk Tingkatan 1, SMSP bermula 1.1.1973 itu dan menyerahkannya kepada Ayahanda. “These are the children chosen to be the pioneers -129 in all”, kata Pengarah.
Kemudian Pengarah menyerahkan pula dua keping stencil. Dulu mesin fotostat belum luas penggunaannya. Kebanyakan pejabat kerajaan tidak mempunyai mesin itu. Tidak seperti sekarang dimana mesin fotostat merupakan kemestian di setiap sekolah dan pejabat kerajaan, walau sekecil mana sekalipun. Senangnya kerja orang sekarang… Untuk membanyakkan salinan, dokumen perlu ditaip pada stencil. Stencil yang sudah ditaip itu kemudiannya dipasang pada satu mesin penggelek. Oleh kerana jenama mesin penggelek yang popular di masa itu adalah Gestetner, maka melekatlah rujukannya sebagai “menggestetner”. – yakni bila nak membanyakkan satu-satu dokumen, contohnya kertas soalan, dikatakan “nak menggestetner kertas soalan”. Serupalah dulu bila jenama mesin fotostat yang ada dan popular ialah Xerox, semua orang kata bila nak fotostat dokumen dikatakan “nak xerox nota”. Dulu, kini dan selamanya begitulah - bekas aiskrim ke, bekas taufufa ke, orang Melayu sebut tapaway (Tupperware).
Berbalik kepada stencil yang Pengarah beri kepada Ayahanda tadi; satunya ialah “Surat Tawaran Masuk Ke Sekolah Menengah Sains Pahang” dan satu lagi “Senarai Keperluan Untuk Masuk Ke Sekolah Berasram Penuh”. Tugas pertama Ayahanda ialah “mengestetner” kedua-dua dokumen ini dan mengirimkan kepada 129 murid-murid lelaki dan perempuan yang bertuah yang telah dipilih menjadi pelajar pioneer SMSP.