Sebelum meninggalkan pejabat, Pengarah memberitahu yang Ayahanda boleh pilih seorang dua guru dari SMK Rompin untuk dibawa bersama bagi membantu Ayahanda dalam ‘misi’ ini. Ayahanda diminta pergi segera ke Temerloh untuk menemuduga pekerja-pekerja asrama kerana Asrama Berpusat SMAB, di mana pioneers SMSP akan ditempatkan baru siap. Pekerja-pekerja, peralatan dan perabutpun belum ada – semuanya baru.
Seterusnya Ayahanda dibekalkan dengan ‘rubber stamp’ “Ketua Pegawai Pelajaran Pahang” dan “URUSAN KERAJAAN”. Itulah sahaja modal menubuhkan Sekolah Menengah Sains Pahang – SMSP.
“Thank you, Tuan. If there’s nothing else, may I take my leave?” kata Ayahanda.
“That’s all, good luck!” kata Pengarah sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat.
Di luar pejabat Pengarah Ayahanda hilang punca, bingung. Tak tahu mana yang nak diutamakan - nak urus isteri dan anak di hospital, nak kemas tugas di SMK Rompin, nak hantar surat panggilan kepada pioneers SMSP, nak temuduga pekerja. Semuanya hendak dibuat dalam masa lebih sedikit dari 21 hari, semua kena buat sendiri. 2 Januari 1973 sesi sekolah akan bermula dan SMSP akan beroperasi. (Baru dua tahun jadi Pengetua di SMK Rompin, ilmu pengurusan satu benda pun tak tahu. Steven Covey belum lagi menulis The 7 Habits). Akhirnya ayahanda buat keputusan uruskan baby Nora dan bondanya dulu. Biasanya orang bersalin paling lama 3 hari di wad, lepas itu boleh lah keluar.
Ayahanda beroperasi di Pekan, menggunakan “kemudahan” Pejabat Penolong Pengelola Sekolah Kebagsaan Pekan – PPSK. Dulu belum ada PPD, pejabat pelajaran yang ada itulah saja - Pejabat PPSK. Jabatan ini ialah one man office – dia (PPSK) lah pegawainya; dialah keraninya; dialah peonnya. Oleh itu tiada siapa boleh menolong Ayahanda. Semua kena buat sendiri – mencetak borang panggilan, “menggestetner” stencil yang dibekalkan itu, mengisi nama pelajar-pelajar yang hendak dipanggil dan mengeposnya. Akhirnya selesai juga kerja-kerja yang perlu dilakukan.
Selesai kerja-kerja itu Ayahanda pun balik ke Rompin untuk peringkat kedua – menyerah tugas ke Guru Penolong Kanan (GPK). Berita pertukaran Ayahanda sudah tersebar. Tetapi oleh kerana masa itu cuti akhir tahun, ramai guru-guru yang dah balik kampung tidak mengetahuinya. Ada beberapa orang guru sahaja yang tidak balik ; antaranya Mr. Tan Eng Chwan. Oleh kerana Pengarah kata Ayahanda boleh pilih seorang dua guru SMK Rompin untuk dibawa bersama, maka Ayahanda pun tawarkankepada Mr. Tan. Tanpa diduga, Mr. Tan serta merta menerima tawaran Ayahanda tanpa berlengah sedikit pun. Malahan beliau kelihatan sangat berbesar hati dan teruja dengan tawaran tersebut. Tentu Anakanda semua dapat teka siapa guru kedua yang dipilih untuk dibawa bersama...maaf, tiada hadiah untuk tekaan tepat...hahaha.
Secara kebetulan, Pegawai Daerah Rompin juga mendapat arahan bertukar. Rompin sedang bersedia memberi jamuan perpisahan kepadanya. Ayahanda sepatutnya memberi ucapan perpisahan bagi pihak Pegawai-pegawai Kerajaan kepada beliau. Tapi oleh kerana sekarang Ayahanda pun bertukar, Ayahanda pun menjadi tetamu; diberi ucapan penghargaan dan perpisahan seperti kepada Pegawai Daerah (seperti menumpang tuahlah tu) dan memberi ucapan balas. Jadinya, Ayahanda pun diraikan seperti Pegawai Daerah itu juga, mendapat District Level send-off. (Okey lah tu, sekolah tak sempat nak buat sebab masa cuti panjang – dan terus tak buat sampai sekarang. Maklumlah, hanya dua tahun jadi Pengetua; tak banyak jasa nak dikenang. Bukan budaya masa tu kot, Guru Besar bertukar atau bersara just walk-out.).
Dengan pertolongan Encik Tan, akhirnya selesailah urusan serah tugas, kemas rumah dan urusan pindah barang (baru 2 tahun kahwin, tak banyak barang-barang pun). Maka setelah berpesan kepada Encik Tan supaya lapor diri ke Temerloh sebaik sahaja dapat surat arahan tukar, Ayahanda pun balik ke Pekan untuk peringkat ketiga….
Dalam masa persiapan ini, musim tengkujuh dah bermula. Hari-hari hujan turun dan air Sungai Pahang dah tinggi menandakan banjir akan tiba. Rasa bimbang tidak dapat ke Temerloh mula melanda. Surat panggilan pelajar sudah diposkan dua minggu lalu. Mereka diminta melapor diri pada 1 Januari 73. Apa akan jadi jika hari itu guru-guru tak sampai? Nak tangguh dah tak boleh. Ayahanda naik cemas...
16 Disember 1972, hujan turun sejak pagi. Hari itu Ayahanda mesti bergerak ke Temerloh. Ditemani oleh Kamilah Hanum, anak saudara Ayahanda yang kebetulan bercuti bersama kami di Pekan dan ibubapanya menyuruh dibawa sekali, kamipun meredah hujan dalam FIAT 124. (Kamilah kemudiannya masuk SEMSAS pada tahun 1976, kini sudah arwah – Al Fatihah)
Setibanya di Ubai, Pekan, kebimbangan Ayahanda menjadi kenyataan. Jalan sudah dinaiki air. Tidak ada kereta di hadapan untuk dijadikan petunjuk samada jalan itu boleh dilalui atau tidak. Tak ada kayu pancang kiri kanan jalan untuk menunjukkan ketinggian air. Sungguh mencemaskan; di samping perlu sampai ke Temerloh (lusa nak temuduga pekerja-pekerja) keselamatan anak buah yang berumor 8 tahun di tangan Ayahanda. Nak diredah, apa kata kalau air itu tinggi dan Fiat 124 itu terapungdan dihanyutkan arus? Nak ditunggu, mana tahu air akan semakin surut atau semakin naik? Akhirnya Ayahanda kunci kereta, pimpin Kamilah dan kami mengharungi air – nak ukur sedalam mana air. Tinjauan kami menunjukkan tempat paling dalam tak sampai paras lutut. Jadi kami balik ke kereta dan “Bismillahir Rahman ir Rahiiiim….”, Fiat 124 meredah air. (Dalam hati: “Ya Allah janganlah enjin kereta ini mati di tempat air yang berarus deras ini”.) Alhamdullillah, lebih kurang 500 meter kami selamat menempoh jalan yang dinaiki air itu, dan meneruskan perjalanan ke Temerloh dalam hujan masih renyai-renyai untuk meneruskan misi.