Seperti dicatatkan dahulu, tugas pertama di Temerloh ialah menemuduga calon-calon untuk dilantik sebagai Penolong Dapor dan Pekerja Am Asrama. Asrama Pusat SMAB baru sahaja siap; tiada satu apa pun. Hanya ada lebih kurang 10 hari lagi sebelum penghuni asrama SMAB yang sedia ada, dan pioneer SMSP akan masuk. Katil, tilam, locker – semua belum sampai.
Sementara itu SMAB pula mendapat Pengetua baru – Cikgu Hashim Kadir (kini Dato’ Hashim Kadir) yang di tukarkan dari SMK Jerantut ke SMAB Temerloh mulai 1.1.1973 Kami terus mula mengorak langkah. Beliau bermurah hati sanggup berkongsi Pejabatnya dengan Pengetua SMSP; jadinya dalam bilik beliau ada dua meja – untuk Pengetua SMAB dan Pengetua SMSP. (Itulah untungnya persahabatan; Cikgu Hashim merupakan senior Ayahanda di universiti, dan kemudiannya kami menjadi rakan sekerja pula di Sek.Men. Ahmad Pekan. Kami berpisah pada 31.12.1970 apabila beliau ditukarkan ke SMK Jerantut manakala Ayahanda ke SMK Rompin.Kalau bukan Cikgu Hashim jadi Pengetua SMAB, mungkin Pejabat SMSP ditempatkan di stor atau di sudut terpencil…). Kami pun menjalankan temuduga dan dengan persetujuan Pejabat Pelajaran yang menghantarkan wakilnya semasa sesi temuduga itu, mereka yang berjayad ilantik ketika itu juga (macam walk-in interview aje).
Hari-hari berikutnya makin mencemaskan; tidak nampak bayang peralatan akan sampai. Pekerja-pekerja yang baru dilantik terus bekerja membersihkan bangunan yang baru siap itu. Sampah sarap yang ditinggalkan oleh kontraktor berlori-lori banyaknya. Cikgu Hashim balik semula ke Jerantut untuk urusan serah tugas dan untuk membawa keluarganya berpindah ke Temerloh. Sebelum beliau balik Ayahanda sempat bertanya samada beliau telah menguruskan pertukaran isterinya – Puan Rabiah (kini Datin Rabiah). Oleh kerana katanya belum lagi, Ayahanda mencadangkan kepada beliau supaya memohon Puan Rabiah ditempatkan di SMSP (untuk pengetahuan, Puan Rabiah merupakan junior Ayahanda di Maktab Bahasa dan rakan sekerja di SMA Pekan). Beliau bersetuju.
Surat menyurat mulai tiba. Sudah tentu antaranya mengenai penempatan guru-guru. Mula-mula tiba ialah pemberitahuan penempatan Cikgu Tan Eng Chwan dan Puan Kamaliah (Bonda) ke SMSP. Lega… Orang Rompin tentu terkejut, dua orang gurunya ‘dibawalari’ oleh mantan Pengetuanya. Itu tak ambil kira guru-guru yang dapat balik ke negeri asal mereka. Kemudian datang nama guru-guru lain - Cikgu Tan Tai Jin, Cikgu Nazar Nong (sekarang dah arwah -Al-Fatihah) dan Cikgu Lai Chung Nam. Mereka diminta melapor diri pada 1.1.73. Bonda tidak dapat melapor diri pada tarikh itu kerana masih ‘dalam hari’ (confinement). Surat pertukaran Puan Rabiah datang hampir sesi persekolahan bermula kerana permohonan agak lewat sedikit. Di samping itu ditempatkan juga empat orang guru baru lepasan maktab – Cikgu Kadis Abu (sekarang dah arwah - Al-Fatihah), Cikgu Harun Abdullah dan Cikgu Anizam Ismail, serta seorang Ustaz – iaitu Ustaz Nordin Ismail. Mereka juga diarah melapor diri 1.1.73. Jadi team kami sebelas orang semuanya.
Cikgu Tan Eng Chwan merupakan cikgu yang mula-mula melapor diri (kan dah di pesan dahulu supaya melapor segera sebaik sahaja mendapat surat arahan. Lagi pun dia bujang, tak banyak barang nak diuruskan – dia hanya ada Honda-cub kapcai aje. “SorryTan…”. Honda kapcai inilah semasa di kampus di Kuantan di usung oleh budak-budak ke tingkat satu asrama lelaki – kita ceritakan nanti di episod yang menyusul). Guru-guru lain belum sampai lagi. Kami berdua terus bersiap sedia untuk menerima the pioneers. Alhamdullillah, sehari sebelum pendaftaran Cikgu Harun dan Arwah Cikgu Kadis melapor diri.
Tanggal 1.1.73 (hariAhad) hari penuh sejarah – SMSP bermula. Seawal jam 8.00 pagi dah beratur ibu-bapa dan penjaga di pejabat SMAB/SMSP membawa anak-anak mereka - muka-muka comel dan jambu- bersih, innocent, segak dalam uniform baru. Ibubapa dan pelajar jelas teruja; mereka mencipta sejarah– SMSP merupakan SBP yang pertama di Pahang.
Kerja-kerja pendaftaran berjalan perlahan, maklumlah hanya dua orang sahaja – Ayahanda dengan Cikgu Tan Eng Chwan. Nak semak dokumen, nak kira duit, dan tak kurang pula ada sesi kaunseling. Macam-macam soalan diajukan; termasuk kebimbangan tentang kebajikan anak-anak mereka yang akan tinggal di asrama. Bagi kebanyakan ibubapa itulah kali pertama berpisah dengan anak-anak mereka dan pada usia yang amat muda. Adalah juga sebilangan kecil yang pernah mengalami situasi seperti itu, tetapi waktu anak-anak mereka masuk ke Tingkatan Empat atau Tingkatan Enam. Rata-rata ramai belum pernah meletakkan anak mereka di asrama semasa di Tingkatan Satu. Di sini ibubapa dari Sarawak agak lebih advance; mereka sudah berpisah dengan anak mereka masa anak-anak mereka di Darjah Satu lagi – ini pengalaman Ayahanda sewaktu bertugas di Sarawak dulu. Selepas mendaftar mereka dibawa ke asrama. Cikgu Harun dan Arwah Cikgu Kadis menunggu di sana. Ayahanda tak tahu apa yang berlaku di sana. Tentu kecoh, maklumlah perabot asrama baru tiba pada 30 Disember. Kerja-kerja memunggah ke bilik-bilik bermula pada 31 Disember dan masih belum selesai. Pada hari pendaftaran itu kerja-kerja memunggah masih berlangsung. Mesti ada rungutan… biarkan.
Proses pendaftaran berjalan tanpa rehat (tak ada tea break, kantin SMAB belum beroperasi). Ibubapa yang menunggu giliran makin resah. Rungutan sudah bermula. Terdengar suara-suara dari luar pejabat seperti “Tak cukup Cikguke…?”, “Dua orang je ke…?”, “Boleh kami tolong…!”. Kami faham keresahan mereka – ada yang lapar (sebab kami pun apa kurangnya, lapar dan dahaga, kerja tanpa henti). Anak-anak mereka pun dah lapar.
Selesai mendaftarkan kesemua 219 orang, Ayahanda dan Cikgu Tan terus pergi ke asrama untuk melihat situasi di sana. Memang havoc; kerja-kerja mengangkat locker, tilam bantal dan memasang katil belum selesai. Maklumlah asrama itu bukan sahaja nak memuatkan 219 pelajar SMSP tetapi juga pelajar-pelajar SMAB. Cikgu Harun dan Arwah Cikgu Kadis dan beberapa orang guru SMAB bermandi peluh sama-sama menolong pekerja-pekerja asrama membuat kerja-kerja itu.Yang terharunya ada juga bapa-bapa yang turut membanting tulang membantu. Tetapi lebih ramai lagi yang berpeluk tubuh sambil menyindir dan memberi komen-komen yang memedihkan telinga. Sabar…sabar…
Hampir petang barulah selesai penempatan pelajar ke dorm masing-masing. Saat perpisahan pula bermula. Suasana riang bertukar. Si comel, jambu dan bersih yang ceria tadi paginya, mulai suram. Ibu-ibu lagi suram. "Hujan" mulai turun apabila ibubapa mengucap selam tinggal.
Setelah keadaan bertambah reda dan anakanda-anakanda settle down di “rumah baru” mereka, Ayahanda pun beredar pulang ke rumah tumpangan (rumah kakak Ayahanda). Malam itu Ayahanda tidur berbantalkan briefcase berisi lebih dari RM40,000.00 kutipan sepanjang hari itu. Tidak lena di buatnya, bukan sahaja bimbangkan duit kutipan itu, tetapi juga merenong komen-komen ibubapa semasa pendaftaran tadi yang semuanya membayangkan cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi nanti.