Coretan-coretan yang dihasilkan ini ditulis dengan kepayahan. Ia digerakkan hasil cetusan idea dari beberapa ahli EXSAS, khususnya mantan Presiden Mazlan dan Alawiyah yang meminta ayahanda menulis memoir ini. Mereka menyarankan banyak kenangan pahit maung, masam dan manis perlu dirakamkan untuk mengimbau kembali kehidupan mereka di situ serta telah mempengaruhi hidup mereka sekarang.
Ada beberapa sebab menyebabkan ayahanda ragu-ragu pada mulanya untuk menyahut saranan itu. Pertama ayahanda ragu-ragu siapa yang berminat membelek-belek celoteh seorang tua; dan celotehnya itu pula tidak releven kepada ramai. Kalaupun ada yang berminat hanyalah mereka yang dalam hidup mereka pernah singgah di “pondok” ini untuk mendapat tiket ke institusi yang lebih tinggi. Pun begitu golongan itu agaknya sedikit sahaja berbanding dengan jumlah yang pernah singgah di sini untuk seketika, minima tiga tahun, maksima tujuh tahun; rata-rata lima tahun.
Kedua, ayahanda tidak pandai menulis genre ini walaupun graduan bidang Pengajian Melayu - B.A.(Hons.) Kelas 2 Atas dalam Kesusasteraan Melayu Moden dari Universiti Malaya. Semasa di maktab perguruaan (Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai) pernah juga ayahanda menulis artikel pendidikan (trend pelajar masa itu menulis artikel untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan - untuk mencari pendapatan tambahan).
Adalah juga satu atau dua artikel ayahanda diterbitkan. Ayahanda cuba menulis sajak, kerana terpengaruh dengan karya Khairul Anwar, dan Sanusi Pane; tapi tidak pernah ayahanda hantar ke akhbar, hanya disimpan dalam fail, kecuali satu yang dimuatkan dalam majalah Al Desperado Universiti Malaya (Majalah dihasilkan oleh dan untuk pelajar yang tidak diam di kolej-kolej kediaman). Kini manuskrip itu dah hilang. Masa itu manalah ada komputer untuk menyimpan maklumat dalam disket atau pen-drive, dan ayahanda pula spesis yang pandai failing system.
Semasa di Maktab Perguruan (Maktab Perguruan Bahasa) dulu atas dorongan seorang pensyarah ayahanda pernah masuk sayumbara menulis drama. Drama sebabak ayahanda menang hadiah ketiga; jadilah. Pensyarah itu yang merupakan mentor ayahanda - Allahyarham Prof. Emritus Tan Sri Datuk Dr. Awang Had Salleh - juga puas hati dengan percubaan pertama ini dan katanya ayahanda ada bakat menulis drama; Wallahu wa’lam (tidak pernah menghasilkan manuskrip drama selepas itu). Ayahanda tak tahu samada benar-benar ayahanda mempunyai bakat atau tidak.
Maka berbekal dengan sedikit expose itulah ayahanda cuba menunaikan permintaan anak-anak – EXSAS - untuk mencoretkan apa yang teringat ketika di SEMSAS. Oleh kerana sudah hampir 41 tahun (kalau ambil kira tarikh mula mencatat, 39 tahun) berlalu pastinya tidak semua pahit manis itu dapat diimbau kembali. Apa yang dicatatkan adalah yang ’fresh’ dalam ingatan dan dirasakan memberi kesan mendalam pada diri ayahanda sendiri dalam membudayakan SEMSAS. Apakah coretan-coretan ini memenuhi hasrat EXSAS untuk mengimbau sejarah hidup mereka di SEMSAS? Wallahuwa’lam........
Banyak pihak membantu dalam menghasilkan celoteh ini melalui inspirasi dan galakan. Mantan-mantan Presiden EXSAS, Dato’ Imran, Sdr Mazlan aka Bosqa dan Sdri Anuar Alawiyah adalah antara pendorong utama. Khusus kepada Sdri Alawiyah dan Sdr Azhar Aziz aka Qisan, terima kasih banyak-banyak kerana usaha-usaha mengedit dan ”menaikkan” celoteh ini yang sempat dinaikkan ke website EXSAS. Semasa sebahagian dari coretan ini telah terbit di website EXSAS, ada juga ayahanda menerima galakan dan mereka yang telah membacanya. Ayahanda minta maaf kerana ianya terhenti beberapa lama lantaran sebab-sebab yang berbagai, hinggalah Presiden sekarang Sdr Fuad dan juga Sdr Rahasdin menggalakkan ayahanda meneruskanya. Kepada mereka diucapkan terima kasih kerana tanpa usaha dan dorongan mereka Coretan Semsas pasti tidak akan ke mana.
Terima kasih juga kepada bonda anda Cikgu Kamaliah yang sentiasa di sisi ayahanda menyediakan teh-o bila kepenatan di komputer. Anak-anak ayahanda turut memberi perangsang dan mereka juga sumber inspirasi kerana mereka membesar di tengah-tengah kesibukan SEMSAS; mereka adalah sebahagian keluarga besar SEMSAS. Khusus kepada Hazim yang membantu dalam IT seperti men ’e-mel’ kan artikel-artikel bila masa (most of the time) ayahanda ”tersangkut” (ayahanda bukan ahli dalam IT). Dan akhir sekali kepada anak-anak EXSAS samada yang telah atau yang akan membaca terima kasih kerana sudi berkongsi coleteh ini kerana ianya ”dari anda untuk anda”. Namun dalam masa yang sama ayahanda memohon maaf kepada watak-watak yang disentuh dalam coretan ini jika ianya menyinggung perasaan dan peribadi. Percayalah tidak ada niat memperkecilkan mana-mana pihak jauh sekali untuk menjatuhkan air muka anak-anak yang ayahanda kasihi. Watak-watak tersebutlah yang menjadikan coretan ini sebagai coretan.
Adalah tidak lengkap dan tidak adil jika ayahanda tidak mengucapkan terima kasih kepada semua di sekeliling ayahanda yang menyumbang kepada livelyness SEMSAS. Tanpa mereka tidak mungkin ayahanda survive for 10 solid years di tengah-tengah kerenah pahit manis seperti dirakamkan dalam 31 siri coretan ini. Mereka adalah ramai – dari semua peringkat – tenaga pengajar, staff sokongan di pejabat, makmal, asrama, dapur dan di padang - yang tidak mungkin dapat disebutkan satu persatu. Rakaman terima kasih khas kepada dua Penolong Kanan yang setia – Mendiang Cikgu Tan Eng Chwan dan Allahyarham Cikgu Kenali yang merupakan ’panglima perang di medan tempur” membantu ayahanda. Kepada isteri tercinta – bonda anda – Cikgu Kamaliah, yang sentiasa menemani ayahanda, di mana juga memainkan dua peranan – sebagai ’ibu’ kepada anak-anak SEMSAS di samping ketua Jabatan Sains Rumah Tangga.
Jasa Allahyarham Cikgu Radhwan, Cikgu Ghaffar (Tan Sri), Cikgu Andy Chong, Cikgu Tan Tai Jin, Cikgu Mariam Khalid, Ustaz Ismail, Cikgu Hasnan, Cikgu Jemail, Cikgu Zamani, Cikgu Aziz (Allahyarham Dato’) juga banyak dalam membentuk SEMSAS. Mereka merupakan inner-most dan inner circles dalam pentadbiran ayahanda. Ayahanda meminta maaf kepada mereka nama-nama yang tidak tercatat, bukan bermakna jasa mereka kecil, tetapi ayahanda telah terlupa kebanyakannya. Percayalah tiada jasa dan sumbangan yang dikira kecil, melainkan sumbangan dan jasa itu tetap diabadikan dan terpahat diingatan ayahanda. Di pejabat, staff yang tidak boleh dilupakan Jamaliah (CC), Encik Johan (Steward), Haris (Storekeeper), K Ramino (Pem. Makmal Rendah) merupakan ”PA” dan pemandu tidak rasmi kepada ayahanda. Kepada Headboys, Head Girls, House Captains dan Pengawas, peranan mereka bukan sedikit; diucapkan terima kasih.
Terima kasih istimewa dirakamkan kepada ketua-ketua ayahanda yang memberi pimpinan dan tunjuk ajar khususnya kepada ketua yang memberi kepercayaan kepada ayahanda dengan melantik ayahanda sebagai Pengetua; beliau ialah tidak lain tidak bukan KPPM masa itu Allahyarham Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir. Semoga rohnya (dan juga roh Cikgu-Cikgu yang lain) ditempatkan di makam yang tinggi. Amiin!!.
Tidak boleh ditinggalkan juga untuk merakamkan setinggi jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Istana Abu Bakar dan Pejabat DYMM Sultan kerana peranan dan sokongan yang dihulurkan, kerana banyak terlibat dalam aktiviti SEMSAS. Dan pasti sembah junjung kasih kepada Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Ahmad Shah sendiri yang sentiasa memberi perhatian, dorongan dan sokongan kepada perkembangan SEMSAS. Kepada Tuanku, patik dengan rendah diri dan takzimnya merafakkan sembah JUNJUNG KASIH TUANKU.
Wassaalam.....
Rumah Oren,
No.115, Persiaran Taman Melati,
Taman Melati,
53100 Kuala Lumpur.