Bahagian awal tahun 1973 tidak begitu banyak peristiwa menarik yang berlaku. Guru-guru dengan cepat menjalankan tugas masing-masing. Ayahanda dan Cikgu Tan merancang untuk menyusun-atur pejabat. Banyak perkara perlu dirancang dan dilaksanakan - sistem memfail, buku kira-kira, penjadualan, hal-ehwal pelajar – disiplin, lembaga pengawas dan sebagainya. Cikgu Tan Tai Jin menjalankan tugasnya dengan baik; jadual waktu siap dalam masa dua hari. Hari ketiga kelas sudah boleh bermula secara formal. Serentak dengan itu Cikgu Lai Chong Num sibuk mencari cari buku teks dan memesan buku tulis. Senarai buku teks telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran, oleh itu banyak yang tidak sama dengan yang digunakan oleh SAB, SMK dan sekolah-sekolah sekitar Temerloh. Cikgu Lai terpaksa pergi membuat pesanan ke Kuala Lumpur.
Selain dari Pengetua hanya Cikgu Lai dan Cikgu Rabiah yang ada kereta pada masa itu. Cikgu Lai ada kereta jenis Triump (beliau sangat sayangkan kereta tersebut – tak ramai orang yang memandu Triump). Tetapi sayang macam manapun Truimp Cikgu Lai menjadi transport alternatif – mengangkut buku-buku yang dipesan di KL. Begitulah masing-masing, semuanya ada tugas tambahan. Pengetua dan Guru Penolong Kanan menjalankan tugas budak pejabat dan kerani; kamilah buka pejabat, tutup pejabat, buat kira-kira dan segala kerja-kerja perkeranian. Mujurlah bagi Ayahanda kerja-kerja perkeranian – menyediakan penyata gaji, simpan kira dan menaip surat ini dah didedahkan semasa Ayahanda di Sekolah Ahmad lagi, di mana Ayahanda diberi tugas menjaga akaun asrama dan akaun kantin sekolah. Begitu juga semasa di Rompin, tidak ada kerani; cuma ada pelayan pejabat yang boleh menaip. Jadi pengalaman ini dapat membantu.
Pembantu yang mula-mula dihantar ialah Abang Johar Abdul Majid – sebagai Pembantu Pejabat (Office Boy). Kerja jadi ringan sedikit; tidak lagi membuka dan menutup pejabat. Kira-kira pertengahan tahun dikirimkan pula Pegawai Kerani – Kak Jamaliah (Jamaliah bt. Shawtatali - yang kemudiannya menjadi isteri kepada anak angkat Ayahanda, Abang Ramino. Itupun ada kisahnya sendiri – yang merupakan rempah garam kehidupan di SEMSAS).
Dikatakan tadi pada keseluruhanya tahun pertama SMSP tidak banyak perkara menarik yang berlaku - tidak ada sukan; sementara aktiviti ko-kurikulum pun ditahap minima kerana masalah ketiadaan tempat. Hal demikian menyebabkan ayahanda runsing juga, bimbang anak-anak bosan dan masalah disiplin akan menular. Bibit-bibit masalah disiplin mula menunjukkan tanda. Pelajar-pelajar lelaki dah mula pandai merokok. Satu episod dari kegilaan merokok ini ialah dimana antara yang ditangkap itu ialah seorang pengawas. Dalam sesi kaunseling dengan harapan Ayahanda menyuruh dia berhenti merokok. Pengawas tersebut dengan tegas berkata “I will never stop smoking; I have been smoking since primary school”. Ayahanda cuba menerangkan kepadanya bahawa sebagai seorang pengawas dia kena tunjuk contoh yang baik. Apa yang mengecewakan dia menjawab dia rela dilucutkan daripada Lembaga Pengawas, namun dia tidak sanggup berhenti merokok. Jadi kenalah Ayahanda terima cabarannya iaitu melucutkan jawatannya sebagai seorang pengawas dan memberi pesanan “If you are brought to me for this smoking offence, you will get more than a pack of cigarettes.”
Tempoh menumpang di SMAB hampir tamat. 1.1.74 SMSP akan beroperasi di bangunan sendiri di Batu 8, Jalan Gambang, Kuantan. Pelajar-pelajar teruja dan tidak sabar hendak pindah. Guru-guru demikian juga. Mereka juga ada idea untuk dilaksanakan. Cuma satu perkara mereka tak tahu bahawa mereka akan mendapat Pengetua baru. Perancangan Kementerian ialah pada tahun pertama itu yang mengetuai SMS ialah Penyelia Penempatan Sementara. Bila berpindah ke banguan sendiri barulah Pegetua sebenar dilantik. Ini aturan praktikal kerana kebanyakan Penyelia Penempatan Sementara ini adalah Pengetua sekolah di mana SMS ditumpangkan.
Berita perlantikan Pengetua baru entah macamana telah diketahui oleh banyak pihak walaupun surat rasmi belum dikeluarkan. Yang anehnya ada di kalangan pelajar yang tahu. Rohana Kassim (Dr. Rohana) adalah satu-satunya pelajar yang mendapat berita ini. Ini tidak menghairankan kerana ayahnya seorang Guru Besar yang sudah tentu rapat dengan sumber-sumber di Pejabat Pendidikan Negeri Pahang. Suatu hujung minggu Rohana datang ke rumah Ayahanda meluahkan kesedihannya (tak tahu pulak samada personal atau mewakili isi hati pelajar-pelajar lain juga). Terpaksalah Ayahanda terangkan bahawa dalam perkhidmatan kerajaan pertukaran ketua adalah perkara biasa dan sesiapa sahaja yang mengetuai SMS misinya adalah sama.
Dalam keadaan tidak menentu Ayahanda sekali lagi mengadap Pengarah Pelajaran Pahang mohon balik ke Rompin. Pengarah bertanya kenapa minta balik ke Rompin. Ada dua sebab kenapa Ayahanda ingin balik ke SMP Rompin. Pertama, dua tahun di situ (sebelum diarahkan memulakan SMSP) Ayahanda rasa belum dapat berbuat apa-apa - baru belajar dan merancang apa nak buat. Sesungguhnya memang banyak hendak dibuat tetapi tak sempat. Kedua, Ayahanda ingin aktif dalam politik. Di Pekan Ayahanda tidak ada tempat; kehadiran Ayahanda –walaupun satu-satu anak tempatan yang memiliki ijazah yang sudi balik berkhidmat di tempat sendiri, namum “tidak dihiraukan”. Tidak ada yang mengajak atau ingin memberi ruang kepada tenaga muda yang agak berpengetahuan sedikit ini untuk ke depan. Sebaliknya tahun kedua di Rompin Ayahanda telah dipelawa seorang Ketua Cawangan UMNO untuk menjadi ahli di cawangannya. Baru berkira-kira nak menyahut pelawaan itu dah ditukarkan ke Temerloh; tapi sebab-sebab ini tidaklah Ayahanda ceritakan kepada Pengarah. Terus terang Ayahanda katakan kepada Pengarah bahawa oleh kerana Pengetua baru telah dilantik, eloklah Ayahanda serahkan tugas ini kepada beliau, dengan memberikan rasionalnya.
Perlantikan Pengetua SBP diuruskan terus oleh Bahagian Sekolah-Sekolah (unit SBP) di Kementerian. JPN hanya berperanan membantu bila diminta seperti mengenalpasti calon, jika ada; seperti dalam kes mengenalpasti calon untuk Penyelia Penempatan sementara dahulu. Pengarah mendengar dan tidak berkata apa-apa. Memang patut pun kerana beliau tidak ada kata pemutus tentang perlantikan Pengetua SBP. Senyap sepi beberapa ketika, kemudian Pengarah terus mengangkat talipon dan meminta bercakap dengan KPPM. Ayahanda diminta menunggu di bilik menunggu sementara mereka berdailog.
Lebih kurang 10 minit kemudian P.A. (dalam private sector secretary lah tu) Pengarah suruh Ayahanda masuk semula mengadap. Pengarah meminta Ayahanda balik ke Temerloh, kemas kini kerja dan tunggu arahan lanjut dari Kementerian. Nampak riak mukanya Pengarah tidak berapa senang; tak taulah samada kerana Ayahanda “mengadu” atau ada sebab lain berkaitan dengan Ayahanda, atau tele-perbincangannya dengan KPPM tidak ada kata putus. Namun Ayahanda ikhlas mau menyerahkan tugas itu kepada Pengetua yang telah dilantik yang kebetulan merupakan kawan Ayahanda juga; jadi untuk mengelakkan wujud suasana tidak selesa Ayahanda merasakan perlu mengundur; tapi dorongan yang kuat ialah dua sebab yang di atas tadi… Ayahanda ingin melakar kerjaya politik… di Rompin.
Dua minggu selepas itu sebuah sekolah Menengah di Chenor, Temerloh (Ayahanda dah lupa samada SMV Chenor atau SMK Chenor ) mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah. Tetamu kehormat ialah KPPM, Allahyarham Tan Sri Hamdan (yang kemudiannya Tun Hamdan). Semua Pengetua sekitar Temerloh dijemput dan kena hadirlah; maklumlah orang nombor satu dalam Kementerian hadir. Selepas majlis, tetamu VIP (termasuklah Pegawai-pegawai JPN dan Pengetua-pengetua yang hadir) dijemput ke jamuan tengahari secara berasingan di rumah seorang pembesar negeri di situ; kalau tak salah Ayahanda di rumah Dato’ Salahuddin. Tengah makan terkejut Ayahanda bila nama dipanggil: “Rahim, come here…”.Yang memanggil ialah KPPM sendiri.
(Allah telah menganugerahkan kepada Tan Sri Hamdan dengan ingatan yang kuat. Nama pegawai-pegawai kebanyakannya beliau ingat. Beliau telah mengenali Ayahanda sebelum melantik Ayahanda sebagai Penyelia Penempatan Sementara; iaitu semasa Ayahanda di SMK Rompin. Satu hari dalam tahun 1972 sewaktu siri lawatannya ke Pahang, beliau hendak melawat SMK Rompin; jadualnya di sebelah petang. SMK Rompin masa itu sekolah satu sessi –sebelah pagi sahaja ; kalau KPPM sampai di sebelah petang, nak tengok apa? Fizikal adalah; tetapi tak dapatlah melihat dan memantau pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ko-kurikulum pun tak banyak. Dengan persetujuan Lembaga Pengelola Sekolah (masa itu institusi ini masih ada) dan PIBG, SMK Rompin ditukar ke sesi petang – hanya untuk hari itu. Apabila rombongan tiba, KPPM terkejut sekolah beroperasi seperti biasa walhal beliau maklum sekolah sepatutnya beroperasi sebelah pagi sahaja. Kebetulan petang itu petang Jumaat. Bila beliau hadir untuk jamuan makan malam itu, sempat beliau menjengok ke Bilik Jahitan SRT di mana pelejar-pelajar asrama sedang mengadakan solat berjemaah. Beliau tidak komen apa-apa; senyap aje.
“Bila nak pindah ke Kuantan?” tiba-tiba KPPM bertanya apabila Ayahanda mengadapnya. “Tunggu Pengetua baru, Tan Sri” sepontan tanpa fikir panjang Ayahanda menjawab. Tan Sri yang masyhur dengan tenung tajamnya (tenung makrifat?) merenung seketika mukaAyahanda. Panik juga dibuatnya, tapi hati berkata “cool…cool..”
Kemudian, “You pack-up and move to Kuantan as soon as possible. Everything is settled.”
“Thank you Tan Sri…” Ayahanda dengar suara Ayahanda menjawab. Hasrat nak balik ke Rompin dan berkecimpung dalam politik terpendam dengan “command” baru itu.
Menjelang cuti akhir tahun semua kakitangan sibuk mengemas untuk pindah ke Kuantan. Yang bujang senang, tak banyak pun barang-barang nak dikemaskan; kami yang berkeluarga sibuk juga. Bagi Ayahanda selain dari alat-alat rumah, fail-fail pejabat juga nak diuruskan. Akhirnya bersama dengan cuti akhir tahun kami mengucapkan selamat tinggal (dengan penuh terima kasih) kepada SMAP dan kepada Puan Rabiah, dan kami pun berpindahlah ke kampus baru di Kuantan untuk memulakan episod seterusnya………….