Kira-kira dua minggu lalu Ayahanda ada masalah telinga. Atas saranan anak-anak Ayahanda pun menalipon Dato’ Dr. Solahuddin, Pakar ENT di Hospital Tawakal lalu diberinya temujanji. Kebetulan pada masa temujanji itu Dr. Solah (maaf, itu panggilan keluarga dan ayahanda terikut-ikut memanggilnya demikian), ada operation off schedule. Kenalah tunggu……..
Dalam masa menunggu itulah (sebelum terlena) terimbau kembali perihal anak-anak SEMSAS yang ramai dan kini berjaya dalam kerjaya masing-masing. Dr. Solah adalah kumpulan kedua SEMSAS yang masuk Tingkatan 1 pada tahun 1974, iaitu yang masuk terus ke kampus Kuantan. Tidak tahu bila terlena, tiba-tiba dikejutkan oleh Dr. Solah yang baru keluar dari dewan bedah (OT) lalu menjemput Ayahanda masuk. Tapi oleh kerana ada pesakit yang lebih lama menunggu, Ayahanda katakan kepadanya “I will wait for my turn…”. Dan Ayahanda terus menunggu, sambil berkata dalam hati… “37 tahun lalu Dr. yang akan merawat telinga aku ini baru Tingkatan Satu; cepatnya masa berlalu… rupa-rupanya sudah tua pun aku ni…” Dan cerita di bawah ini ialah kisah 37 tahun yang lalu….
Seperti mula-mula nak ke Temerloh dulu dalam suasana musim hujan tengkujuh, masa pindah ke Kuantan juga hujan. Keseluruhan kampus SMSP adalah kawasan rendah; apabila Ayahanda sampai dengan barang-barang seluruh kawasan digenangi air akibat hujan turun berhari-hari sebelumnya. Keadaan betul-betul basah dan sunyi. Yang ada untuk memulakan operasi selain Ayahanda hanyalah Mr. Tan, Kak Jamaliah dan Abang Johar. Guru-guru lain, termasuk Bonda bercuti akhir tahun. Lagipun Bonda sibuk mengurus rumah baru (dan…...mengandung 4 bulan, anak kedua). Ayahanda masih ingat mengatakan kepada Mr. Tan, “Tan, we are starting all over again… like in Temerloh”. Banyak hendak dibuat – perlantikan kakitangan sokongan, memproses tender makanan, menunggu perabot dan kelengkapan dihantar.
Setelah mendapat kunci-kunci bangunan, kami terus bekerja – setting up the office. Terkejut Ayahanda melihat pejabat SBP hanyalah sebuah bilik darjah “dibelah dua”, separuh untuk bilik Pengetua, dan separuh lagi untuk Pejabat Am. Di situlah hendak ditempatkan GPK, kerani, dan lain-lain staf pejabat. Mengikut senarai Perjawatan yang akan diisikan termasuklah Matron, Steward, dan Penyelenggara Setor. Di mana nak diletakkan mereka ini? Tak mengapa; itu akan ditangani kemudian – you cross the bridge when you come to it, so they say... Yang menjadi priority ialah mengisi jawatan-jawatan sokongan untuk meneruskan kerja-kerja pembersihan, pemunggahan dan penyusunan.
Dengan kerjasama Jabatan Pelajaran (JPN) Pahang temuduga melantik pekerja-pekerja – tukang kebun, tukang sapu dan penolong dapur terus dibuat secara walk-in: temuduga dan lantik terus. Yang berjaya terus melapor diri hari itu juga. Suasana betul-betul seperti persiapan kenduri kahwin. Apa tidaknya, kami hanya ada lebih kurang 4 minggu sebelum tahun baru persekolahan bermula. Bersusun kerusi meja di bilik-bilik Industrial Art yang perlu dipunggah dan diagihkan ke bilik-bilik darjah. Katil-katil double-deckers perlu dihantar ke dorm dan dipasang; kerusi meja untuk Dewan Makan perlu disusun. Pendek kata betul-betul kerah tenaga. Nasib baik lockers dipasang-siap dalam setiap dorm; kalau tidak jenuh dibuatnya untuk mengangkat beberapa biji lockers ke setiap dorm. Kerja-kerja tidak berjalan lancar kerana diselang dengan hujan; sekejap hujan, sekejap berhenti. Sementara itu peralatan bertalu-talu tiba, alat dapur, alat pejabat, alat sains, dan alat-alat Sains Rumah Tangga (SRT). Heboh dan kecoh.
Sementara itu kerja-kerja pentadbiran berjalan perlahan kerana alat-alat pejabat tiba berdikit-dikit. Apabila peralatan tiba, banyak lagi kejutan bagi Ayahanda. Antara alat-alatnya – sebuah mesin taip 18 inci dan sebuah mesin pendua manual jenama Gestetner. Yang lain-lain ialah alat-alat sains untuk sembilan buah makmal – tiga makmal Sains Paduan (Tingkatan 1-3), dua makmal Fizik, dua makmal Kimia dan dua makmal Biologi.
Kira-kira 3 minggu sebelum sesi persekolah bermula, tibalah senarai pelajar-pelajar Tingkatan Satu 1974. Kalau untuk 1973 dibekalkan dengan pretyped stencil, kali ini hanya senarai nama sahaja. Kami pun memproses panggilan.
Semakin dekat dengan tarikh permulaan penggal persekolahan 1974 kami semakin cemas. Tidak semua keperluan tiba seperti yang dijadualkan. Paling kritikal tilam bantal belum tiba (serupa dengan
scenario di Temerloh dulunya). Pembekal makanan mentah ke asrama juga belum diputuskan – sebabnya keputusan mesti datang dari Kementerian. Sementara itu perancangan kurikulum berjalan terus, kerana kami dah tahu jumlah kelas yang akan dibuka dan senarai guru-guru baru pun sudah tiba. Guru-guru yang dihantar selain yang baru keluar dari kolej, ramai juga yang berpengelaman yang ditukarkan dari sekolah
lain, antaranya Encik Anuar, Puan Zainab, Mr. Andy Cheong dan Mr.Ong Ah Ping (Ayahanda kurang ingat bila Mr. Tan Kok Ming masuk; samada dalam kumpulan ini atau kemudian). Kehadiran mereka memantapkan kakitangan akedemik di Menengah Rendah. Ahad pertama Januari 1974 pendaftaran pelajar Tingkatan 1 pun bermula; manakala pelajar Tingkatan 2 juga kembali ke sekolah penuh ceria untuk belajar di kampus sendiri yang dinanti-nantikan. Maka bermulalah episode baru yang penuh cabaran……………