Tatkala mencoret episode ini Dr. Hanim, anak Ayahanda komen “Ayah tulis ni ada ke orang baca? Ada ayah dapat response ke?”. Secara spontan Ayahanda jawab “Entahlah…”. Memang Ayahanda tidak tahu apakah response sebab Ayahanda sendiri tidak ada akaun facebook dan tidak juga melawat facebook EXSAS.
Tawar hati dibuatnya oleh komen jenaka tu (anak tu memang concernnya lebih, maklumlah anak termanja yang lahir di kampus SEMSAS). Tetapi apabila minggu lalu Alawiah hantar e-mel mengatakan ada juga response maka semangat nak teruskan sampai habis timbul semula. Ini adalah kisah seterusnya…
“VIP” yang seludup rokok dalam kamus Oxford tu merupakan seorang daripada beberapa lagi “VIP” di SEMSAS. Mereka sentiasa dipantau kerana mereka juga adalah calon-calon LCE/SRP 1975. Mereka ini sebenarnya berpotensi tetapi oleh kerana nakalnya lebih, dan suka mengusik pelajar lain diwaktu prep, mereka sendiri menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan. Jika seorang sahaja daripada mereka gagal, harapan mencipta rekod 100% tentunya ranap. Benchmark akan berkecai. Ayahanda tak boleh biarkan itu berlaku…I cannot afford to take any chances. Cabaran Menteri Pelajaran senitiasa dalam kepala dan menghantui Ayahanda.
Di dalam kelas prep berbagai gurauan mereka; sementara menghiburkan sebahagian daripada anggota kelas, sebahagian besar lagi terganggu. Sudah tentu ramai lagi yang sentiasa “terhibur” dengan gelagat mereka. Apabila gelagat mereka makin tidak terkawal, pelajar-pelajar lain makin tension. Sahlah jalan keluar ialah mengasingkan mereka ini, sekurang-kurang diwaktu prep. Jika tidak ia akan memberi kesan negatif kepada yang lain.
Di rumah Pengetua ada sebuah bilik kosong – bilik untuk pembantu rumah, kerana pembantu rumah berkongsi dengan anak-anak kami (tahun ‘75 kami hanya ada dua orang anak – Nora 3 tahun, dan Hanim 1 tahun : jadi Pembantu Rumah tidur dengan mereka). Maka bilik itu dijadikan kelas prep untuk “VVIP” ini. Setiap kali kawan-kawan mereka ke bilik darjah masing-masing untuk prep, 10 orang “VVIP” ini akan melapor diri ke rumah Pengetua untuk prep mereka. Di kelas VIP ini mereka sentiasa di bawah Bonda’s watchful eyes; oleh itu wujud suasana tenteram.
“VVIPs” ini sungguh manja dan minta layanan VIP. Tempat mereka mengadu dan meminta sesuatu ialah kepada pembantu rumah kami – Kak Kama (yang kemudiannya menjadi Pekerja Am sekolah). Kepada Kak Kama mereka mengadu panas, Kak Kama hantar kipas angin (bilik pembantu rumah tidak dibekalkan dengan ceiling fan). Mereka mengadu dahaga, Kak Kama sediakan air. Begitulah sehingga sampai ke LCE/SRP; dan mereka berjaya. Sebenarnya mereka ini bukan kumpulan tidak cerdik, cuma nakal mereka lebih dan mahu perhatian yang lebih. Alhamdullillah hari ini mereka sudah Hidup Berjasa. Harapan Ayahanda mereka tidak lupa akan ‘kelas’ mereka di bilik pembantu rumah dan tidak lupa jasa Kak Kama yang melayan mereka (untuk pengetahuan, Kak Kama anda tinggal di Taman TAS dan sudah pun bersara).
Kenakalan “VIP” di atas tadi hanyalah merokok, kacau classmate nak prep dan seumpamanya. Tapi ada jenis nakal senyap yang tidak disangka-sangka. Memang berdisiplin, tidak ada aduan dari Pengawas atau Guru Disiplin tentang mereka dan akademik pun top, tetapi mereka boleh melakukan sesuatu yang tidak disangka-sangka.