Suatu pagi tiga orang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dibawa “mengadap” Ayahanda. Mereka ditangkap masuk ke Asrama Puteri diwaktu malam. MasyaAllah!!! Tujuan mereka agak ganjil. Seorang daripada mereka pura-pura duduk di tepi katil seorang pelajar puteri dan meminta rakannya merakamkan “lakonan”nya duduk di tepi katil itu dengan kamera yang dibawa bersama.
Kemudian, mengikut ceritanya mereka berkejar ke bilik gelap Kelab Fotografi di Makmal Kimia untuk memproses filemnya. Mungkin mereka tidak menggunakan flash (kalau pakai flash tentu ramai puteri-puteri yang sedang tidur akan terjaga dan menjerit; heboh sekampung pulak jadinya). Agaknya sebab tidak pakai flashlah gambar itu tidak jelas. Atau mereka belum habis menuntut ilmu fotografi. Untuk makluman, Kelab Fotografi baru sahaja ditubuh dan peralatan pun belum banyak. Sudah pasti ada di antara mereka itu terdiri daripada ahli kelab tersebut serta ada access ke bilik gelap tersebut dan mahu mempraktikkan apa yang dipelajari di Kelab Fotografi itu. Malangnya subject dan objek yang hendak difotokan tidak kena; serta keduanya, mereka belum tamat belajar ilmu fotografi – masih amatur….
Ayahanda akui memang lucu kenakalan mereka ini. Hanya satu kenakalan; namun ayahanda tidak terhibur, malah memandang serius perkara ini. Ayahanda tidak boleh ambil ringan. Pelajar lelaki masuk ke asrama puteri, untuk apa sebab sekalipun telah melakukan kesalahan berat. Walaupun mereka hanya bertujuan berjenaka untuk “bergambar” dan tidak melakukan perkara-perkara lain, perkara pokok ialah mereka telah melakukan kesalahan berat – merayap ke asrama puteri diwaktu malam.
Ayahanda terpaksa bertindak. Besar implikasi jenaka ini jika diketahui oleh ibubapa. Tentu mereka akan beranggapan disiplin di SEMSAS sangat longgar hingga pelajar lelaki boleh merayap ke asrama puteri. Masyarakat tidak ambil pusing bahawa budak itu masih berhingus dan nakal; cerita yang akan keluar ialah budak lelaki masuk ke asrama perempuan dan Pengetua tidak berbuat apa-apa, Pengetua tidak tegas. Ibubapa akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan sekolah. Namun begitu mereka ini calon peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE)/Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi. Nak dibuang sekolah memang boleh, Pengetua ada kuasa berbuat demikian tetapi jika dibuat begitu mereka tidak dapat menduduki peperiksaan tersebut. Rekod dalam Sijil Berhenti Sekolah akan dicatat sebagai “Dibuang Sekolah” – suatu catatan yang membawa implikasi buruk, tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Sekolah mana yang mau menerima mereka untuk menyambung persekolahan? Mereka akan menempuh jalan berliku. Nak dikekalkan, seluruh masyarakat sekolah akan pandang rendah kepada Pengetua. Ia juga mungkin akan menjadi precedencekepada pelakuan yang benar-benar serius - na’uzubillah!
Namun keputusan mesti diambil. Akhirnya selepas berunding dengan penjaga-penjaga mereka, mereka diminta untuk memilih sekolah yang hendak ditumpangi sementara menunggu tibanya peperiksaan LCE/SRP. Setelah mereka memilih, Ayahanda berunding dengan Pengetua-pengetua sekolah tersebut untuk menerima buat sementara anak-anak Ayahanda yang nakal ini. Apabila tiba tarikh peperiksaan LCE/SRP, mereka akan balik ke SEMSAS untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan tersebut. Dengan demikian mereka kekal menjadi calon LCE/SRP dari SEMSAS dan mereka akan bertukar sekolah hanya selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan. Dengan demikian pada Sijil Berhenti Sekolah nanti akan dicatat “Bertukar Sekolah” dan bukan “Dibuang Sekolah”. Begitulah persetujuan yang Ayahanda buat dengan penjaga-penjaga mereka. Maka “berhijrah”lah mereka buat sementara ke sekolah-sekolah yang dipersetujui.
Tindakan itu Ayahanda rasa yang terbaik; bak kata bidalan Melayu “menarik rambut dalam tepong; rambut jangan putus, tepong jangan berselerak”. Ayahanda bukan tidak sayang kepada ketiga-tiga mereka, lebih-lebih lagi mereka ini mempunyai masa depan yang baik, tetapi Ayahanda juga sayang kepada seluruh anak-anak dan SEMSAS in particular.
Rupanya ada pihak yang tidak senang dengan tindakan tersebut. Seorang ketua NGO yang berpengaruh membawa perkara ini ke peringkat Kementerian – terus ke KPPM. Pihak KPPM melenting mendengar aduan orang berpengaruh itu dan terus minta Pengarah Pelajaran Negeri Pahang menyiasat. Ayahanda dipanggil untuk berjumpa Pengarah (Pengarah waktu ini bukan lagi Encik Tan Boon Lin – iaitu Pengarah semasa mula-mula Ayahanda dilantik sebagai Pengetua dulu). Sebaik saja masuk ke pejabat Pengarah, belum sempat Ayahanda duduk, Ayahanda terus dilecturenya. Antara lain katanya “…perkara kecil seperti ini takkanlah sampai buang sekolah…”. Kata-katanya yang masih Ayahanda ingat ialah “You tau tak, KPPM dah marah…tak patut tindakan itu…”. Ayahanda cool sahaja. Dah habis Pengarah lecture Ayahanda bersuara, “Tuan, antara Asrama Puteri dengan Asrama Putera jaraknya hanya 5 meter dan tidak ada pagar memisahnya. Saya tidak dapat menjamin perkara ini tidak berulang. Jadi tindakan saya inilah pagarnya…”. Pengarah memandang ayahanda dan hendak berkata sesuatu, tetapi Ayahanda terus menerangkan rancangan yang diatur itu. Tiba-tiba talipon di atas mejanya berdering. Tak tahulah siapa memanggil dan bercakap, hanya Ayahanda ingat perkataan yang keluar dari mulut Pengarah “…Ya Tan Sri… baik… ada… ya..ya… ada depan saya...”. Selepas bercakap dan meletakkan talipon di gagangnya, Pengarah dengan nada serius bekata “Hah!! itu KPPM tadi. Dia marah. You pergi KL dan terang pada dia sendiri…”. Ayahanda menjawap “Baik Tuan, saya mohon diri…” lalu keluar dari pejabat Pengarah.
Memang secara kebetulan Ayahanda ada urusan di Jabatan Imigresen Kuala Lumpur - hendak membuat passport antarabangsa untuk ke United Kingdom (UK) atas jemputan dari British Council bersama Pengetua-pengetua SBP/SMS lain untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke British Public Schools di UK. Ayahanda pun mengambil kesempatan untuk “mengadap” KPPM.
Sampai saja ke Kementerian (masa itu di Federal House) dahi dah berpeluh. Gementar juga, takut-takut bila disergah nanti jawapan yang disediakan tidak keluar dari mulut. Terlebih dahulu Ayahanda singgah di Bahagian Sekolah (Unit SBP) dan kebetulan Encik Harun Hassan, Penolong Pengarah SBP ketika itu ada di pejabatnya (Encik Harun ini kemudiannya menjadi Pengetua Sekolah Alam Shah, dan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang). Ayahanda mengajak Encik Harun menemani Ayahanda “mengadap” (takut juga rupanya…)
Setelah Pembantu Peribadi KPPM mengesahkan yang KPPM ada, kami pun menuju ke pejabatnya. Masuk saja ke biliknya, mulut Ayahanda kelu; hanya Encik Harun yang memberi salam.
LAAA…Tokki cepatlah sambung cerita ni……………………
(Ini komen Dr. Nora –anak pertama Ayahanda. Rupa-rupanya dia juga mengikuti coretan Semsas; tidak menghairankan kerana dia membesar di Kampus SEMSAS dan melihat/mendengar gelagat abang-abang/kakak-kakak di SEMSAS. Rupa-rupanya dalam senyap-senyap dia baca draf Ayahanda).
Ayahanda tak ingat samada KPPM menjawab salam atau tidak, mungkin perlahan. Tapi yang masih segar dalam ingatan Ayahanda (walaupun sudah 36 tahun berlalu) ialah dia tidak menyuruh kami duduk, malahan merenung tepat pada Ayahanda dengan renungan tajam. Tak tahu berapa saat berlalu; tetapi terasa sangat lama. Dia tidak berkata apa-apa. Tegang sungguh suasana; rasa nak terkencing dalam seluar pun ada (oops… sorry!!!).
Akhirnya dia bersuara dengan keras “What have you done, Rahim… How can you sack them from school at this time, their examinations is so near!” sambil terus merenung.
“Mereka bukan dibuang sekolah Tan Sri…” Ayahanda menjawab. “Habis tu aku terima aduan kau buang mereka”, kata Tan Sri KPPM. Pada ketika ini Ayahanda kumpulkan semangat, menenangkan diri dan dengan tertib menerangkan apa yang berlaku dan apa tindakan yang diambil, satu persatu. Ayahanda terangkan rancangan untuk mereka dan rundingan serta persetujuan dengan penjaga yang telah terlebih dahulu dibuat sebelum melaksanakan rancangan itu.
Senyap seketika; KPPM tidak berkata apa-apa. Ayahanda pun sudah tidak ada apa lagi untuk diterangkan. Rasanya segala-galanya sudah diterangkan. Tan Sri terus merenung Ayahanda. Akhirnya… “You have done the right thing. Orang-orang ni buat laporan tidak betul kepada aku…”.
Bagai satu beban berat telah dialih dari kepala Ayahanda. Kaki yang tadinya menggeletar, kuat kembali. “You must be firm…” tambahnya lagi. “If you do the right thing I will back you up” dan disusuli dengan beberapa nasihat (KPPM adalah bekas Pengetua STAR, tentunya nasihat itu berdasarkan pengalamannya di sana). Kalaulah tidak kerana protocolhendak rasanya Ayahanda meluru ke depan, memeluk dan mencium tangannya. Ayahanda hanya mengatakan “Thank you Tan Sri, I will do my best!”.
“O.K., you may go…” Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih dan mula beredar hendak keluar. “Oh…, by the way, when are you going to UK?” Ayahanda menoleh dan menjawab… “In two weeks time, Tan Sri”.
“Have a nice trip and learn as much as you can…” ujar KPPM.
“Thank you again, Tan Sri…”; kami terus keluar dari bilik KPPM…