Sebelum mencoretkan kisah ini, dengan harapan ianya dapat dikeluarkan dalam bulan Syawal ini, maka terlebih dahulu Ayahanda mengucapkan Selamat Hari Raya kepada anakanda-anakanda sekelian – maaf zahir batin; maaflah kalau terrotan, tertampar, terkasar, ter…. ter…(“ter itu sebenarnya “terpaksa” bukan suka sangat atau sengaja nak lakukannya. Tak seronok pun. Banyak kali selepas Ayahanda merotan, Ayahanda mengunci bilik tidak mahu diganggu dan mengesat air mata, menyesal kerana memang benar-benar tidak mahu melakukannya; sakitnya budak itu kena 5 das. Kalau anak aku kena rotan macam mana…?).
Seperti biasa setiap tahun selepas Solat Aidilfitri Ayahanda balik ke Kuantan. Melintas saja depan SEMSAS hati mula sayu. Terkenang kembali semasa Aidilfitri bersama anak-anak SEMSAS. Masa itu ramai pelajar dari luar Pahang – termasuk dari Sabah dan Sarawak. Tambahan pula Aidilfitri ada kalanya dekat benar dengan SPM/MCE, jadi mereka ini tidak balik kampong. Ada juga program keluarga angkat dibuat untuk mereka, namun ada yang tidak menyertai program tersebut. Mereka memilih untuk beraya di kampus dan bersedia untuk peperiksaan. Oleh itu selesai sahaja solat Hari Raya di Pekan, Ayahanda terus balik ke SEMSAS membawa apa makanan yang ada dari Pekan untuk beraya bersama-sama mereka. Tidak ada sesiapa di sekolah kecuali Ayahanda dan Bonda (dan beberapa pekerja dapur). Warden-warden, termasuk Mr. Tan Eng Chwan balik kampong beraya. Apabila sahaja pintu menghadap padang / asrama dibuka, berduyun-duyunlah anak-anak datang berhari raya. Itu yang seronoknya. Tak taulah sekarang bagaimana. Apa yang jelas, pada hari itu apabila Ayahanda melintas SEMSAS, "tidak ada pun tanda-tanda kehidupan” dan pada hari ketiga waktu balik ke KL juga tidak kelihatan kelibat sesiapa di kampus. Mungkin semuanya balik kampong – SRP lambat lagi; SPM pula lagi jauh. Atau beraya di Telok Cempedak kot… Di zaman Ayahanda begitulah; lepas rumah Pengetua mereka berduyun ke Bandar…….
Kita tinggalkan nostalgia itu dan kita sambung dengan episod seterusnya – iaitu episod yang Ayahanda katakan dulu menyumbang kepada migraine dan gastrik Ayahanda. Episod ini benar-benar mencemaskan. Sebenarnya Ayahanda berbelah bagi samada hendak teruskan dengan episod ini atau tidak kerana terlalu sensitif. Walau bagaimanapun, hati ini ingin berkongsi dengan anak-anak SEMSAS yang sudah dewasa. Ayahanda harap terimalah dengan hati terbuka. Kisah ini adalah antara yang terberat yang telah Ayahanda jumpai dan tangani. Ayahanda sembunyikan identiti yang berkenaan. Kisahnya begini…......
Suatu pagi (Ayahanda dah lupa tahun bila; mungkin tahun 1975 juga), seorang guru (…….Kaur; maaf Ayahanda dah lupa nama sebenarnya) masuk ke Pejabat Pengetua dengan muka yang cemas. Dia menunjukkan kepada Ayahanda suatu benda yang katanya ditemui dekat pondok Pengawal. Kami periksa benda itu – satu tiub sepanjang 1.5 cm – 2.0 cm, berisi sejenis powder. Apakah ini cocaine atau morphine? Yang pasti ia bukan ganja kerana ganja dalam bentuk daun. (Semasa di Rompin dulu Ayahanda ada pengalaman menangkap seorang pelajar membawa daun ganja ke sekolah. Setelah didesak dia mengaku menanam pokok ganja dalam pasu bunga dan dijadikan jambangan rumah. Entah berapa banyak dah dibawanya ke sekolah sebelum akhirnya dia ditangkap; kami serahkan dia ke pihak Polis). Jadi ini kali kedua Ayahanda berdepan dengan kes hampir serupa; tapi kalau cocaine atau morphin tentulah lebih serius. Kalau betul cocaine atau morphine, dan kalaulah pengedarnya serta penggunanya ada di SEMSAS, atau di kalangan pelajar SEMSAS sudah pasti akan meletup berita sensasi; akan menjadi tajuk utamaakhbar. Ekorannya yang terlibat tidak dapat lari dari hukuman di bawah DDA. Jika dalam simpanan pengedar/penggunanya melebihi timbangan tertentu maka hukuman mandatori nya ialah……tali gantung… Nauzubillah….Baru selesai satu bala, timbul pulak bala lebih serius.
Kalau Cikgu……Kaur itu lihat tepat pada muka Ayahanda tentu nampak Ayahanda pucat. Ayahanda cuba sedaya menyembunyikan perasaan cemas ini, tidak mahu nampak kepadanya panik..(Ya Allah, help me be to be cool!).
“What do you think this stuff is?” Ayahanda bertanya kepada Cikgu…..Kaur.
“I think it is……….heroine”. Tak taulah riak muka Ayahanda waktu itu; yang pastinya memang gementar.
Ayahanda panggil Cikgu Tan Eng Chwan, Cikgu Zamani dan Abang Rashid (Matron). Abang Rashid buka tiub itu dan mengambil sedikit lalu di letak di hujung lidahnya untuk menguji. “Heroine, Cikgu” katanya. Senyap seketika (orang-orang tua dulu kata “Malaikat lalu..”). Kami buntu; benda ini dijumpai dalam kawasan sekolah. Mungkin ada kaldai yang membawanya; mungkin pelajar sendiri yang menjadi kaldai (mereka dah biasa jadi kaldai rokok). Kalau ada kaldai yang membawa masuk mesti ada pelangannya. Siapa? Berapa ramai? Berapa banyak benda itu tersembunyi dalam kampus sekolah? Bermacam-macam soalan timbul.
Suasana hening ketika; kami berpandangan sesama sendiri. Pengetua dah memegang dahinya – tanda tension. Akhirnya Pengetua memberi arahan. “Kita rahsiakan perkara ini dahulu; nanti saya panggil mesyuarat warden-warden. We will get to the bottom of this, but very carefully. Until then just keep to yourself. Miss…… , thank you for your alertness. You may all go”.
Sebelum mengadakan mesyuarat dengan warden-warden, Ayahanda terlebih dahulu adakan brain-storming dengan Mr. Tan Eng Chwan, Cikgu Zamani dan Abang Rashid. Persoalannya: betulkah ada “kaki tarik” di kalangan pelajar? Mungkinkah di kalangan kakitangan sendiri? Kakitangan – terutamanya pekerja am rendah muda-muda lagi, in their early twenties. Atau besar kemungkinan pekerja kontrak (kebetulan waktu itu ada pembinaan sedang berlangsung – projek bangunan tambahan dan kuaters klas C untuk GPK dan ketua warden). Kita kena narrow down tetapi bagaimana? Tak ada seorangpun yang ada pengalaman menangani situasi seperti ini sebelum ini.
Semasa di SMA Pekan, Ayahanda pernah dihantar menghadiri kursus Guru Kaunseling dan Bimbingan Kerja – selama 2 minggu. Apalah sangat yang dapat dalam masa dua minggu? Tiap-tiap topik hanya pengenalan dan maklumat asas sahaja. Antara yang dikuliahkan ialah bagaimana hendak mengenali tanda-tanda awal kesan dadah ke atas penggunanya – matanya merah dan berair, muka pucat dan lesu. Ilmu ini tidak sempat dipraktikkan kerana di Pekan tidak timbul kes-kes seperti ini. Lama-lama lupalah pulak tip-tip yang dipelajari itu. Baru sekarang timbul kajian kes. Mencabar betul. Dari tanda tanda fizikal kami buat, kami positif ada di kalangan pelajar yang menjadi “Mat Tarik”.
Mesyuarat Warden-warden kali ini panjang sekali. Kami berbincang strategi untuk menangkap mereka yang terlibat, masanya dan caranya. Tapi sebelum operasi dilakukan kami dah kenal pasti sasaran kami………
Malam menjalankan operasi itu telah ditetapkan. Selain daripada warden-warden, tidak seorang staf pun tahu. Bonda pun tidak tahu. Pada pukul 3 pagi, ketika pelajar-pelajar semua nyenyak tidur, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan arahan bangun dan beratur di sisi katil mereka. Tau lah suara Cikgu Zamani dan Abang Rashid (bekas-bekas facilitator BTN). Kami terus cekup sasaran kami, 20 hingga 40 orang. Sebenarnya suspek dalam lingkungan 10 orang; selebihnya itu “decoy” sahaja.
Cikgu Zamani terus ke subjek: “Mana benda itu” sergahnya. Abang Rashid menambah “Kami tahu kamu mengisap dadah; di mana benda itu?”. Mana-mana yang innocent berterus terang “Tidak Cikgu, saya tidak hisap Cikgu, sumpah…”. Melalui proses interogasi ini kami narrow down kepada 20 suspek utama. Akhirnya Ustaz Ismail bertindak. Beliau membariskan 20 orang pelajar ini dan memaksa mereka minum air (tak tahu bila dan dari mana dia ambil – mungkin dari bilik mandi). Kemudian kami parade mereka ke Bilik Warden untuk sesi seterusnya. Kami menyoal rapi seorang demi seorang. Sebelum disoal mereka diingatkan oleh Ustaz Ismail bahawa mereka baru sahaja minum “air Yaasin”; dan mereka hendaklah bercakap betul; jika tidak “air Yaasin akan menyebabkan berbagai kesan negatif”.
Tak sangka umpan ini menjadi. Mereka terus beri tahu siapa “Mat- Mat Fit” itu dan di mana bekalan itu disembunyikan (takut juga mereka kepada “air Yaasin” Ustaz Ismail. Setelah mendapat nama 3 penagih itu Mr. Tan, Cikgu Zamani dan Abang Rashid terus menyelongkar loker pelajar tersebut dan ditemuilah benda itu………..
“Benda” itu dijumpai di tempat yang aneh. Kalau bukan kaki tarik atau yang benar-benar rapat dengan mereka tentunya tidak dapat menemui bahan yang disembunyikan di situ. Fesyen kegemaran budak lelaki pada masa itu ialah baju kemeja lebih saiz dari biasa; dan jika memakainya tidak dituck-in. Kolar baju pada masa itu pula ada lubang di mana dimasukkan sekeping plastik macam kayu aiskrim untuk menegangkan kolar itu – nampak elegant (lebih-lebih lagi jika memakai tali leher. Jadi bagi Mat Fit baju menjadi tempat paling “selamat” dan praktikal untuk menyimpan dan membawa benda itu ke mana-mana sahaja tanpa disyaki oleh sesiapa kecuali sesama mereka atau oleh personalia yang terlatih. Caranya: di kaki baju itu dibuat satu compartment kecil yang boleh memuatkan sebatang tiub dadah; dan memang tidak nampak kerana biasanya dibuat di sebelah dalam kaki baju. Cara kedua ialah menyimpan di kolar baju, iaitu dengan mengeluarkan plastik penegang kolar itu dan digantikan dengan tiub itu.
Bagi yang tegar kaedah ini bukan semata-mata untuk menyembunyikan barang mereka dari diketahui, malah cara mudah untuk menarik (apabila teringin/ketagih) secara terang-terangan tanpa disyaki. Sambil berjalan sahaja atau duduk dalam kelas di waktu prep, mereka akan mengigit (mengepat) hujung baju atau kolar baju yang ada tiub di dalamnya. Tiub itu telah di tebuk terlebih dahulu, dan….wow!!!...nikmat! Bagi yang unsuspecting ini kononnya kononnya kebiasaan atau habit dari kecil (macam habit kepat bucu bantal bucuk). Sesi menggeledah loker-loker berjalan hingga hampir subuh. Semua loker pelajar yang menjadi suspek, atau rakan rapat dengan penagih tersebut diselongkar. Setelah puas bahawa tiada lagi bahan disembunyikan dan tiga suspek utama dijumpai operasi itu ditamatkan – hampir jam 6 pagi…