Satu daripada minat ayahanda ialah bergiat dalam bidang Koperasi. Dalam kesibukan tugas sebagai Pengetua ayahanda melibatkan diri dalam Koperasi Guru-Guru Melayu Pahang Timur, dan Koperasi Perumahan Guru-Guru Melayu Pahang Timur. Pergerakan koperasi penuh dengan pendidikan. Ia mengajar konsep ‘satu untuk ramai dan ramai untuk satu’. Ia menerapkan sikap jimat cermat dan keuntungan dikongsi bersama. Dan yang penting ia menanam sikap amanah kepada ahli dan lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin sesebuah koperasi.
Di waktu yang sama Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar menggalakan penubuhan koperasi di sekolah-sekolah khusus untuk pelajar-pelajar sekolah, tujuannya seperti di atas, adalah untuk mendedahkan kepada pelajar sekolah dari awal lagi sikap berjimat-cermat, berkerjasama dan amanah. Maka bercambahlah Koperasi-koperasi sekolah di seluruh Negara. Ayahanda rasa terpanggil untuk menubuhkan Koperasi di SEMSAS memandang falsafahnya yang penuh pendidikan dan murni itu. Maka dengan sokongan dan bimbingan Pejabat Koperasi Kuantan tertubuhlah Koperasi Sekolah Mengengah Sains Pahang Berhad.
Untuk beroperasi kita menggunakan sebahagian dari bilik rehat Blok A, dijadikan kedai. Bermulalah perniagaan secara kecil-kecilnya . Kita menjual alatulis, keperluan harian dan makanan ringan - biskut, mi segera dan yang popular aiskrim. Kedai Koperasi diurus oleh Cikgu Kadis (Allahyarham) dibantu oleh Ahli Lembaga Koperasi dari kalangan pelajar-pelajar. Ini menepati faslsafahnya untuk mendidik jenerasi pelajar tentang pengurusan koperasi.
Sambutan kepada Koperasi amat memerangsangkan. Pendek kata selepas habis masa permainan di sebelah petang, pelajar-pelajar berkerumun di kedai koperasi untuk membeli minuman dan makanan ringan. Aiskrim paling laris. Ayahanda rasa puas dan yakin koperasi akan berkembang. Setiap petang lori aiskrim datang menghantar bekalan. Ayahanda merasa benar-benar teruja. Kalau macam ini sambutan, sudah pasti dalam masa dua tahun Koperasi akan maju dan boleh beri dividen kepada ahli-ahli.
Rupanya harapan itu meleset. Apablia ditutup akaun didapati Koperasi rugi. Hairan dan bingung; kedai yang mendapat sambutan didapati mengalami kerugian. Di mana silapnya? Pengurusan tidak cekap? Bermacam macam soalan timbul. Kenalah ada siasatan. Sekali lagi khidmat ‘informer” diperlukan. Di antara maklumat yang diterima ialah ada di antara petugas yang berkaloborasi dengan pelajar-pelajar (geng mereka) dalam menipu Koperasi. Caranya senang: pembeli A akan ke kedai apabila yang bertugas itu geng dia. Apabila si A membeli satu-satu item, katakan harga item itu 50 sen, dia akan memberi wang kertas RM1.00; si petugas di kedai tadi akan mengembalikan kepada si A (the change) 90 sen instead of 50 sen. Dalam lain perkataan item yang berharga 50 sen dijual dengan harga 10 sen. Berbagai item dijual mengikut modes operandi begitu. Oleh kerana it went unchecked untuk beberapa lama dan tidak hairannya Koperasi mengalami kerugian.
Nyatalah prinsip amanah yang hendak diterapkan tidak berjaya: pelajar yang ditugaskan menjaga kaunter tidak amanah; melanggar satu prinsip Koperasi. Ini tidak melemahkan semangat ayahanda dan ramai anggota koperasi. Hanya ada dua tiga blacksheep sahaja. Untuk mengelakkan perbuatan ini berterusan, kita hanya membenarkan dua tiga orang sahaja dari kalangan AJK untuk berada di kaunter. Seterusnya ayahanda melantik PakCik Abu Hanipah (seorang dari Pekerja Am sekolah) untuk menjaga kaunter. Semenjak itu cashflow Koperasi kembali stable.
[Mengenai PakCik Hanipah ini ada ceritanya sendiri. Beliau sebenarnya ialah classmate ayahanda semasa di sekolah rendah dulu – Ahmad (Primary) School - sekitar awal 50an. Kami memasuki sekolah Inggeris itu melalui Special Malay Class; SMC 1- setaraf Darjah 4. Tamat SMC 2 – Std 5 lah tu, PakCik Hanipah tidak meneruskan ke Std. 6, iaitu gateway ke peringkat Menengah. Tidak tahulah apa sebabnya; mungkin masalah kewangan. Beliau berasal dari Kg.Temai, sekarang ini 24 km dari Pekan melalui jalan Batu Balik. Tapi masa tu Jalan Batu Balik tak ada lagi; kena naik bot toot-toot. Di Pekan beliau kena menumpang di rumah saudara. Rumah saudara pun kena “hulur” juga – maklumlah orang Pekan masa tu manalah senang; semuanya susah. Jadi itulah agaknya – dan ayahanda yaklin - sebab PakCik Hanipah tidak meneruskan persekolahannya. Kami pun berpisah.
Puluhan tahun berlalu, ayahanda menjadi Pengetua SEMSAS, cerita PakCik Hanipah dah hilang dari ingatan ayahanda. Suatu hari tiba-tiba PakCik Hanipah muncul depan ayahanda.di Pejabat SEMSAS. Beliau menceritakan selepas keluar dari Ahmad School beliau menamatkan Darjah 6 di Sekolah Melayu di kampongnya – Temai. Selepas itu beliau bekerja kampong, bergantung kepada hasil getah sebagai punca utama. Kini harga getah sudah rendah dan beliau merasa kesempitan hidup. Mengetahui ayahanda mengambil ramai Pekerja Am untuk SEMSAS beliau memohon pertimbangan ayahanda ke atas situasinya. Oleh kerana memang ada pengambilan masa itu ayahanda pun menerimanya sebagai seorang dari Pekerja Am. Tersentuh juga emosi memikirkan dua orang rakan, seorang jadi Pengetua – Ketua Jabatan – seorang lagi menjadi Pekerja Am. Situasi yang sama ayahanda rasai agaknya serupa dialami oleh dua orang Jurutera EXSAS apablia masuk dan keluar kerja di tempat mereka bekerja di tabik hormat oleh Pengawal yang satu ketika merupakan rakan sekolah mereka di Semsas; Wallahuuwa’lam…..]
Atas usaha Cikgu Kadis, PakCik Hanipah dan di dokong oleh berberapa pelajar (AJK) yang setia, Koperasi berjalan baik semula. Kini ayahanda tertanya bagaimana pula keadaanya sekarang?